Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil keputusan mengembalikan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dalam kontrak peminjaman kader sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dibuat minggu lalu. 

“Dia adalah kader polis ke AKPS. IGP (Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail) dah jelaskan. 

“Jadi kita, kembalikan dia pulang kepada pasukan polis dan pihak polis akan menyusullah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Ditanya lanjut, siapa individu yang bakal menggantikan Mohd Shuhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS yang baharu, Saifuddin sekadar berkata, polis. 

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata status perkhidmatan Shuhaily di AKPS dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan sebelum sebarang keputusan berkaitan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatannya diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong. 

Perkara itu katanya, turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan lanjut. 

Beliau berkata, rujukan kepada AGC perlu dibuat kerana penugasan Shuhaily di AKPS berdasarkan kontrak peminjaman kader daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh dua tahun yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kita merujuk perkara ini kepada AGC sebab penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily di AKPS untuk tempoh selama dua tahun. 

“Dia macam kontrak, jadi kontrak ini dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang membabitkan tahan kerja dan sebagainya, tindakannya nanti kita bergantung kepada nasihat AGC. Tapi apa pun perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan penamatan kontrak dan sebagainya,” katanya. 

Beliau ditemui selepas Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), di sini, semalam. 

KDN pula dalam kenyataan semalam menegaskan bahawa urusan perkhidmatan Shuhaily masih di peringkat untuk dimuktamadkan. 

Menurut kenyataan itu, KDN ambil maklum serta menghargai pandangan yang disuarakan oleh masyarakat berhubung perkara berkenaan.

Pada 21 Oktober lalu, Shuhaily mengaku tidak bersalahatas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, pada 28 September di KLIA. 

Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Shuhaily didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Faiz Saman antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada 28 September lalu. 

Beliau turut didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, di lokasi dan pada masa yang sama.

Pada 17 Oktober lalu, Saifuddin berkata AGC meminta beberapa penambahbaikan terhadap kertas siasatan, termasuk penjelasan tambahan dan tindakan siasatan lanjut.

Kertas siasatan itu sebelum ini dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara selepas polis merakam keterangan 25 saksi. -BH Online