KUALA LUMPUR: Seramai 691 guru dikenal pasti memerlukan intervensi segera berkaitan kesejahteraan psikologi menerusi saringan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap 82,126 guru di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata dapatan saringan Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi) menunjukkan 636 guru berada pada tahap sederhana, 32 pada tahap sederhana rendah dan 23 pada tahap rendah.
Beliau berkata jumlah itu bersamaan 0.84 peratus daripada keseluruhan guru yang menjalani saringan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, majoriti guru, iaitu 99.16 peratus, berada pada tahap kesejahteraan psikologi yang baik, merangkumi 50,869 guru pada tahap tinggi dan 30,566 pada tahap sederhana tinggi.
“Secara keseluruhannya, dapatan ini menunjukkan majoriti guru yang menjalani saringan berada pada tahap kesejahteraan psikologi yang baik, namun KPM akan terus memberikan perhatian dan intervensi kepada guru yang dikenal pasti memerlukan sokongan.
“Bagi membantu guru yang berdepan cabaran berkenaan, KPM melaksanakan pendekatan intervensi secara menyeluruh yang merangkumi aspek pembangunan, pencegahan dan pemulihan melalui perkhidmatan psikologi dan kaunseling.
“Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk kaunseling individu dan kelompok, ujian psikologi, bimbingan dan konsultasi dan program-program pengurusan stres serta sokongan emosi kepada warga KPM,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di lawan sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahya (PN-Sungai Besar) mengenai bilangan guru dalam kategori masalah kesihatan dan kecelaruan mental serta langkah intervensi dan bantuan sokongan yang dilaksanakan KPM bagi membantu mereka meneruskan kehidupan dan kerjaya.
Fadhlina berkata pendekatan intervensi dimulakan dengan pengesanan dan pengenalpastian keperluan individu, diikuti intervensi psikologi dan kaunseling yang bersesuaian.
“Antara langkah intervensi yang dilaksanakan akan berfokus isu dan keperluan individu, merangkumi pengurusan kewangan, masalah hutang yang serius, prestasi sederhana dan isu berkaitan kesihatan mental.
“Dalam situasi krisis, sokongan diberikan melalui intervensi boleh membantu individu menstabilkan emosi, mengenal pasti kekuatan dan sumber sokongan serta membina pelan tindakan untuk kembali berfungsi.
“Pendekatan KPM bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah semasa, malah turut memperkukuh keupayaan guru untuk mengekalkan kesejahteraan dalam jangka panjang.
“Usaha ini bertujuan membantu guru kembali stabil dan berfungsi dengan baik serta dapat meneruskan kehidupan dan kerjaya secara lebih berdaya tahan,” katanya.
Selain intervensi psikologi dan kaunseling, KPM turut mengambil inisiatif menaik taraf bilik guru dengan peruntukan keseluruhan RM200 juta, termasuk tambahan baharu sebanyak RM100 juta, bagi memperkukuh kesejahteraan warga pendidik.
“Inisiatif ini bertujuan menyediakan ruang kerja yang lebih selesa, kemudahan asas yang lebih baik serta suasana yang kondusif dan profesional untuk menyokong keperluan guru dalam melaksanakan tugas seharian.
“Penyediaan persekitaran kerja yang sesuai bukan sahaja dapat meningkatkan keselesaan dan kemudahan guru, malah turut menyokong kesejahteraan fizikal, emosi dan psikologi guru dalam melaksanakan tanggungjawab secara berkesan.
“Usaha ini selaras dengan pendekatan KPM yang memberi perhatian terhadap aspek kesejahteraan guru secara menyeluruh, termasuk penyediaan persekitaran kerja yang dapat membantu mewujudkan suasana kerja yang positif, harmoni dan menyokong produktiviti serta motivasi guru,” katanya.
Fadhlina berkata KPM akan terus memperkukuh perkhidmatan psikologi dan kaunseling serta melaksanakan intervensi bersesuaian berdasarkan keperluan warga pendidikan bagi memelihara kesejahteraan psikologi guru secara berterusan. -BH Online
