Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bagi menangani isu kekurangan guru, Kementerian Pendidikan (KPM) meluaskan pengambilan calon guru kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, inisiatif pengambilan calon guru membabitkan lepasan STPM, STAM dan Program Matrikulasi itu adalah bagi mengikuti latihan pra perkhidmatan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Mengulas lanjut, katanya langkah meluaskan pengambilan calon guru tajaan KPM itu bermula bagi pengambilan tahun ini.

“Ini adalah inisiatif KPM bagi membuka peluang kepada lebih ramai calon yang berminat menjadi guru untuk memohon kemasukan ke program PISMP. 

“Ia juga dapat memastikan calon terbaik dapat dipilih bagi mengikuti program ini selain membuktikan komitmen berterusan KPM dalam menangani isu kekurangan guru.

“Inisiatif ini juga bagi memastikan kualiti calon guru terbaik yang dapat menyumbang kepada agenda reformasi pendidikan negara,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, menurut KPM, calon yang terpilih akan dilatih di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dalam pelbagai bidang pengkhususan untuk tempoh kursus selama empat tahun.

Sebelum ini pelbagai laporan dibuat media susulan kekurangan guru malah pada November lalu, KPM mengakui mengalami kira-kira 20,000 kekurangan guru susulan guru bersara wajib dan guru bersara pilihan. 

KPM sebelum ini turut memberi jaminan isu kekurangan guru di semua jenis sekolah di negara ini adalah bersifat sementara dan akan diselesaikan mengikut keperluan sekolah, opsyen dan situasi pendidikan semasa.

Menterinya, Fadhlina Sidek, dilaporkan berkata sehingga 31 Oktober lalu, bilangan keseluruhan kekosongan guru sudah dikenal pasti dengan peratusan tertinggi direkodkan di sekolah kebangsaan (SK).

Pihak KPM mengakui terdapat kekosongan bilangan guru di semua sekolah di SK iaitu 4.8 peratus, diikuti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 3.69 peratus dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak 1.94 peratus.-BH Online