Sorting by

×

Jawatankuasa Kemasukan Ahli Baharu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak dapat mencapai kata sepakat sama ada untuk menerima Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perwakilan tetap Malta ke PBB memberitahu Agensi Anadolu.

“Tiada kata sepakat untuk mengesyorkan keahlian,” kata Perwakilan Malta yang kini merupakan Presiden kepada Majlis Keselamatan PBB untuk bulan April, lapor Agensi Anadolu.

Kenyataan itu turut menyatakan Malta akan menyediakan satu laporan mengenai isu berkenaan dan mengagihkannya kepada ahli-ahli majlis.

Wakil Tetap Malta ke PBB Vanessa Frazier berkata kepada wartawan bahawa tiada masalah mengenai syarat keahlian, menunjukkan dua pertiga daripada jawatankuasa itu menyokong permohonan keahlian daripada Palestin.

Pada 2011, Palestin menghantar permohonan untuk menjadi anggota penuh PBB tetapi gagal mendapatkan sokongan yang diperlukan daripada ahli Majlis Keselamatan.

Bagaimanapun, wakil Palestin di PBB Riyad Mansour mengumumkan pada 2 April beliau telah menghantar sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memohon supaya permohonan keahlian mereka dipertimbangkan.

Pada 3 April, Gutteres menulis surat kepada Majlis Keselamatan PBB supaya mempertimbangkan permintaan Palestin.

Proses untuk menerima ahli baharu PBB telah bermula di Majlis Keselamatan. Selepas perbincangan, majlis dijangka merujuk perkara ini kepada Jawatankuasa bagi Kemasukan Ahli Baharu.

Sekiranya jawatankuasa itu memberikan respons positif, Majlis Keselamatan PBB perlu mengundi, tanpa anggota tetapnya menggunakan kuasa veto dan sekurang-kurangnya sembilan daripada 15 anggota mengundi menyokong kepada satu keputusan positif.

Jika majlis itu meluluskannya, perkara itu akan dirujuk kepada Perhimpunan Agung PBB. Kelulusan keahlian memerlukan undi majoriti dua pertiga daripada 193 ahli PBB.

Sejak 1974, Palestin menyertai PBB sebagai pemerhati.– BERNAMA