Sorting by

×

Barisan Nasional (BN) secara prinsipnya bersetuju parti komponennya tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, sekali gus menyokong usaha Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerusi terbabit.

Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din, berkata pendirian itu sudah dinyatakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu majlis baru-baru ini, selepas mengambil kira kerusi DUN berkenaan yang sebelum ini disandang PH.

“Secara prinsipnya, BN menerima bahawa kerusi DUN itu adalah milik PH. Pendirian untuk tidak meletakkan calon (pada PRK nanti) pun sudah dinyatakan Pengerusi BN sebelum ini. Saya rasa tidak ada isu disitu.

“Benar ada cadangan dan pandangan daripada pimpinan MCA pusat dan negeri yang mahu bertanding di kerusi berkenaan, kita akan perhalusi dan putuskan nanti dalam mesyuarat pimpinan BN pusat pada 16 April ini (Selasa depan),” katanya kepada BH.

Megat Zulkarnain berkata, mesyuarat itu nanti akan turut dihadiri pimpinan PH khususnya DAP.

“Kita akan bincang dan mencari jalan terbaik mengenai hal PRK ini. Kita hormat pandangan dan cadangan MCA sebagai rakan komponen kita, tapi biarlah perkara ini diperhalusi dalam mesyuarat pimpinan itu nanti,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, menjelaskan diperingkat parti itu, soal siapa calon akan diletakkan sebagai mewakili Kerajaan Perpaduan sama sekali tidak berbangkit.

“Peringkat kita (UMNO) tidak ada isu. Kerusi itu secara tradisi adalah milik PH. Jadi mereka yang lebih wajar untuk meletakkan calonnya,” katanya.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan PH juga belum menetapkan tarikh untuk menentukan calonnya, selain belum mengadakan perbincangan berhubung calon bagi PRK itu yang dijadual pada 11 Mei ini.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, Kee Hiong menewaskan Perikatan Nasional (PN), Henry Teoh Kien Hong dengan dengan majoriti 4,119 undi.

Turut bertanding calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dr Siva Prakash mendapat 1,186 undi dan Chng Boon Lai dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) mendapat 527 undi.

Kee Hiong, 58, menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia akibat kanser.

Pada 4 April lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari pengundian awal bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Pengundi DUN Kuala Kubu Bharu membabitkan 46 peratus Melayu, Cina (30 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (lima peratus) dengan 40,226 pemilih berdaftar termasuk 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi di luar negara.-BH Online