Sorting by

×

Pihak berkuasa alam sekitar digesa melakukan audit keselamatan ke atas syarikat menguruskan pusat pelupusan sisa toksik berjadual kualiti alam di Sendayan, susulan insiden kebakaran berulang di kawasan itu.

Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kebakaran yang berlaku semalam amat membimbangkan.

“Pusat itu terletak berhampiran kawasan kediaman Kampung Sendayan. Sebarang bentuk pencemaran, kebocoran dan kebakaran di pusat terbabit akan mendatangkan kemudaratan kepada penduduk setempat.

“Saya harap pihak syarikat kualiti alam mengambil tindakan meneliti secara terperinci prosedur operasi standard (SOP) syarikat dan pihak agensi kerajaan yang berkenaan melakukan audit keselamatan.

“Ini kali kedua kebakaran berlaku,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Tempat logistik simpanan sisa bahan kimia berjadual berkeluasan 100 x 100 kaki persegi di Pusat Kualiti Alam itu terbakar sepenuhnya petang semalam.

Jurucakap bomba berkata, maklumat diterima jam 5.58 petang sebelum tiba di lokasi jam 6.16 petang.

Sementara itu, Pasukan Kesihatan, Keselamatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sentiasa memantau kualiti udara dan bacaan gas di tapak serta kawasan sekitarnya.

“Setakat ini, tiada bacaan tidak normal ditunjukkan,” katanya.

Sementara EXCO Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan, berkata penduduk di sekitar Sendayan tidak perlu bimbang kemungkinan berdepan masalah kesihatan susulan kebakaran di Cenviro Sdn Bhd (Pusat Kualiti Alam) di sini.

Katanya, pemantauan setakat ini mendapati kualiti udara di kawasan itu terkawal.-BH Online