Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kajian Pembangunan Zon Ekonomi Kawasan Sempadan Utara Semenanjung Malaysia oleh Kementerian Ekonomi, menjadi asas pembentukan pelan induk pembangunan bersepadu kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pelan induk itu akan menjadi panduan pembangunan di Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis, dengan mengintegrasikan zon ekonomi, jaringan jalan raya, rel serta kegiatan perdagangan dan pelancongan.

Beliau berkata, pelan induk itu akan turut mengambil kira keutamaan pembangunan dan kepentingan ekonomi bagi kawasan sempadan kedua-dua negara.

“Tumpuan diberikan kepada kelebihan ekonomi Malaysia dan Thailand yang saling melengkapi, khususnya dalam sektor agromakanan, produk halal serta industri hiliran getah.

“Bekalan bahan mentah dan agromakanan dari Thailand berpotensi menyokong aktiviti pemprosesan bernilai tinggi di Malaysia.

“Pada masa sama, ekosistem halal dan rangkaian logistik rantaian sejuk dapat memperluaskan akses produk ke Thailand serta pasaran antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, malam tadi.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengenai pelan induk kerajaan untuk membangunkan sempadan Malaysia-Thailand sebagai koridor ekonomi strategik yang mengintegrasikan zon ekonomi khas, jaringan jalan raya dan rel, perdagangan serta pelancongan, khususnya bagi meningkatkan pembangunan Kelantan, Kedah serta Perlis.

Menjelaskan lanjut, Akmal Nasrullah berkata, sinergi itu membuka peluang untuk perusahaan tempatan menyertai rantaian bekalan serantau, selain menjana pekerjaan dan pendapatan bagi penduduk setempat.

Bagi menyokong kegiatan ekonomi itu, beliau berkata, tumpuan turut diberikan kepada infrastruktur logistik bersepadu yang merangkumi jaringan jalan raya dan rel.

“Pintu sempadan utama seperti Rantau Panjang, Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar menghubungkan kawasan perindustrian, pusat logistik serta pelabuhan.

“Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) memperkukuhkan keupayaan pengendalian dan pengedaran kargo darat.

“Selain itu, cadangan sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang berpotensi memperluaskan hubungan logistik dengan Thailand,” katanya.

Pada peringkat dua hala, beliau berkata, pembangunan di kedua-dua belah sempadan perlu diselaraskan supaya kawasan ekonomi, infrastruktur dan kegiatan perdagangan saling melengkapi serta memberikan manfaat bersama.

“Kerjasama melalui Jawatankuasa Malaysia-Thailand mengenai Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan (JDS) dan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) menyokong usaha ini.

“Matlamatnya ialah meningkatkan kesejahteraan penduduk dan merapatkan jurang pembangunan wilayah,” katanya.-BH Online