Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pemilik sebuah stesen minyak di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang disyaki menyalahgunakan subsidi petrol dan diesel Budi Madani akan dibatalkan lesen sekiranya didapati bersalah. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara itu sudah dirujuk kepada polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Laporan polis sudah dibuat dan sekarang siasatan sedang berlangsung membabitkan pelbagai pihak yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KPDN.null

“Di pihak KPDN, sekiranya didapati bersalah nanti, antara tindakan yang boleh kita laksanakan adalah menggantung atau membatalkan lesen barang kawalan berjadual (CSA) pemilik stesen minyak berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini. 

Manipulasi subsidi

Menurutnya, kesalahan memanipulasi subsidi itu memberikan implikasi kewangan yang besar, justeru sebagai agensi mengawal CSA, KPDN memandang serius kes penyelewengan ini. 

Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Kewangan menyekat sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah Budi Madani selepas mengesan transaksi mencurigakan yang disyaki membabitkan penyalahgunaan subsidi.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan dilapor berkata, semakan terhadap rekod transaksi stesen minyak itu mendapati lebih 1,000 transaksi menggunakan kaedah pintasan manual, membabitkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000.

Tindakan ini diambil berikutan beberapa aduan daripada penerima Budi Madani yang mendapati maklumat MyKad masing-masing digunakan tanpa pengetahuan mereka untuk membeli petrol bersubsidi. -BH Online