Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Mesyuarat Kewangan Negara hari ini bersetuju menambah baik peruntukan pemberian kerajaan Persekutuan kepada negeri sebanyak RM8.9 bilion tahun ini, berbanding RM8.3 bilion pada 2023 dan RM8.1 bilion pada 2022.

Penambahbaikan pemberian itu antaranya membabitkan peningkatan penyelenggaraan jalan negeri kepada RM5.4 bilion berbanding RM5.2 bilion tahun lalu.

Ia juga membabitkan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) sebanyak RM400 juta.

Selain itu, Pemberian Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) dinaikkan kepada RM200 juta berbanding RM150 juta pada 2023 manakala penambahan Pemberian Khas Tahunan untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta berbanding RM16 juta untuk Sarawak dan RM129.7 juta untuk Sabah tahun lalu.

Pemberian kepada Perpustakaan dan Muzium Negeri turut ditingkatkan 10 peratus untuk tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan komited untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum.

“Berlandaskan prinsip manusiawi dan ‘rahmatan lil alamin’ yang membentuk kerangka Ekonomi MADANI, penambahbaikan pemberian kepada kerajaan negeri dapat memberi manfaat langsung kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau geografi.

“Peningkatan Pemberian membabitkan semua negeri akan diberi secara serentak. Walhasil, besarlah harapan saya supaya pemberian ini digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk menjamin kemaslahatan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Bagi Perbelanjaan Pembangunan, sejumlah RM39.4 bilion disediakan tahun ini untuk melaksanakan projek pembangunan negeri berbanding RM36.7 bilion pada 2023 dan RM28.8 bilion pada 2022.

Kelulusan permohonan kerajaan negeri sudah diberi berhubung kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan atau bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh yang boleh menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan.

Justeru, Majlis Kewangan Negara meluluskan pembelian Jambatan Sementara Bailey menggunakan peruntukan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri secara ‘one-off’.

Had untuk membiayai perbelanjaan pengurusan berkaitan penyelenggaraan jalan negeri dinaikkan sebanyak 10 peratus atau RM10 juta, mengikut yang lebih rendah.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat terbabit yang turut dihadiri Menteri Besar serta Ketua Menteri.-BH Online