Sorting by

×

Kerajaan bersetuju melanjutkan tarikh akhir permohonan Visa Panggilan/Visa Dengan Rujukan (VDR) kepada 21 April ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah kuota aktif yang belum memohon VDR sebanyak 132,000 dan gangguan teknikal yang berlaku kepada sistem FWCMS pada 21, 22, 23, 27, 28 dan 29 Mac lalu.

“Tempoh pelanjutan ini akan memberi peluang kepada majikan yang sahih untuk menyelesaikan proses bagi mendapatkan Surat Kelulusan VDR ini dengan segera.

“Aliran kemasukan kuota yang diluluskan untuk lima tahun terkini adalah tidak melebihi 80 peratus daripada keseluruhan kuota yang diluluskan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, dijangkakan kira-kira 105,600 pekerja akan diberi Surat Kelulusan VDR daripada 132,000 kuota yang masih belum memohon Surat Kelulusan VDR.

“Pelanjutan tempoh berkenaan akan memberi manfaat kepada majikan terutama dalam sektor kritikal seperti di sektor perladangan.

“Sehubungan itu, majikan adalah dimohon untuk memanfaatkan sebaik-baiknya tempoh pelanjutan yang telah diberikan untuk mendapatkan Surat Kelulusan VDR,” katanya.

Beliau berkata, peringatan berkenaan adalah penting bagi mengelakkan trafik yang tinggi di sistem pada saat-saat akhir seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Tempoh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal pada tarikh 31 Mei 2024 walau bagaimanapun dikekalkan selari dengan sentimen pasaran yang memerlukan tenaga kerja dengan segera bagi mengelakkan situasi manfaat tertangguh,” katanya.-BH Online