Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan sentiasa mengenal pasti golongan yang memerlukan dalam usaha mengecilkan jurang kemiskinan di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata dengan memberikan bantuan sewajarnya, golongan berkenaan diharap dapat membaiki taraf kehidupan mereka.

“Kementerian sentiasa mengenal pasti golongan yang memerlukan dengan membantu mereka sebaik mungkin.

“Ini bertujuan supaya mereka dapat membaiki taraf hidup, sekali gus mengecilkan jurang di antara golongan yang berada dan miskin,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan Syawal Kedutaan China di Masjid Al-Mubarakah, Taman Bukit Cheras di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri-Kaunselor Kedutaan China, Lin Shiguang dan Pengerusi Masjid Al-Mubarakah, Datuk Jailani Harun.

Kedutaan China berbesar hati memberikan sumbangan makanan asas kepada seramai 200 asnaf, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) dari kariah masjid berkenaan.

Noraini yakin, usaha kerajaan untuk merapatkan jurang itu mampu dilaksanakan namun mengakui ia akan mengambil masa.

Justeru katanya, pihaknya sangat mengalukan pihak swasta terutamanya untuk bersama membantu dan bekerjasama dalam usaha itu.

“Saya galakkan pihak swasta membantu dengan mengadakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Usaha pihak ini sudah pasti akan dapat juga membantu meringankan golongan pihak yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut memuji usaha Kedutaan Besar Republik China yang turut sama membantu memberikan bantuan Syawal kepada mereka yang memerlukan.

“Saya berharap usaha Kedutaan Besar Republik China membantu kariah masjid tidak terhenti di sini dan diteruskan setiap tahun bagi meringankan beban golongan yang memerlukan menjelang Syawal,” katanya.

Sementara itu, Shiguang berkata, ini kali kedua pihaknya membantu menghulurkan bantuan makanan asas seperti beras dan gula kepada kariah masjid berkenaan dengan yang pertama pada tahun lalu.

Katanya, bantuan yang diberikan itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan kesukaran yang dialami mereka, terutama menjelang Syawal tidak lama lagi.

“Kami sedar masih ramai yang memerlukan pelbagai bantuan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga penduduk di Palestin.

“Jadi kami juga berusaha menghulurkan bantuan termampu kepada penduduk di Malaysia dan di Palestin,” katanya.-BH Online