Sorting by

×

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN (AFMM) ke-28 di Luang Prabang, Laos bermula hari ini sehingga Jumaat.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), delegasi yang sama juga menghadiri Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-11 serta mesyuarat berkaitan.

Mesyuarat terbabit juga dihadiri oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, tambahnya dalam kenyataan pada Rabu.null

Mesyuarat membincangkan dan mengambil maklum perkembangan kerjasama kewangan seperti Dana Infrastruktur Asean (AIF) di bawah agenda penmbiayaan infrastruktur, kerjasama insurans, pembiayaan risiko bencana dan insurans (DRFI), integrasi kastam, Tetingkap Tunggal Asean, pengawalseliaan insurans, pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan pengganas serta Forum Percukaian ASEAN.

MOF memaklumkan, Amir Hamzah juga terlibat dalam pemantauan prestasi Pelan Hala Tuju Kemajuan Integrasi Monetari dan Kewangan Asean termasuk liberalisasi akaun modal, pembangunan pasaran modal, liberalisasi perkhidmatan kewangan, integrasi perbankan, sistem pembayaran dan penyelesaian serta keterangkuman kewangan.

Amir Hamzah turut menjemput Menteri-menteri Kewangan ASEAN dan rakan dialog untuk hadir semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.-BERNAMA