KUALA LUMPUR: Sebanyak 455 sekolah sudah diluluskan untuk projek pembinaan semula bangunan daif kategori Skala 7, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pendekatan bersepadu menerusi tiga kaedah utama bagi menangani isu fasiliti sekolah awam yang uzur di seluruh negara.
Kaedah itu merangkumi penyelenggaraan tahunan, ubah suai dan naik taraf (USNT) bagi bangunan kategori Skala 6 serta pembinaan gantian bagi bangunan Skala 7.
“Melalui penyelenggaraan tahunan dan pelaksanaan USNT, kerosakan dapat dikenal pasti serta ditangani pada peringkat awal, sekali gus mengelakkan kemerosotan keadaan bangunan sehingga memerlukan intervensi lebih kompleks dan melibatkan kos lebih tinggi,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai jumlah sekolah awam yang dikesan mempunyai fasiliti uzur di seluruh negara serta garis masa tindakan pantas KPM bagi membaik pulih infrastruktur itu demi menjamin keselamatan murid dan warga pendidik.
Fadhlina berkata, data sekolah yang mempunyai bangunan daif bersifat dinamik dan berubah mengikut keadaan fizikal bangunan serta hasil penilaian teknikal dari semasa ke semasa.
Beliau berkata pembinaan gantian turut dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) bagi bangunan Skala 7 yang mengalami kerosakan kritikal,
Langkah menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan RMKe-13 itu bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan berkualiti untuk murid serta warga sekolah.
“Penyaluran peruntukan dilaksanakan berdasarkan keperluan dan keutamaan penyelenggaraan yang dikenal pasti, khususnya bagi menangani kerosakan serta kemudahan memerlukan tindakan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah,” katanya. -BH Online

