Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-20 (AMMTC) di Makati, Filipina, bermula esok hingga Rabu ini.

Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat yang dipengerusikan Filipina itu, menghimpunkan menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan jenayah rentas sempadan, bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani ancaman jenayah yang semakin kompleks.

“Saifuddin Nasution dijadualkan menyampaikan kenyataan negara yang memberikan penekanan terhadap keperluan memperkukuh tindakan kolektif ASEAN, dalam membanteras sindiket jenayah rentas sempadan yang semakin canggih dan terancang.

“Malaysia turut akan berkongsi pengalaman dan langkah penambahbaikan dalam menangani jenayah penipuan dalam talian, termasuk pengukuhan peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), pemantapan kerangka perundangan serta penyelarasan tindakan antara agensi penguatkuasaan dan institusi kewangan, menurut kenyataan itu.

Selain menghadiri AMMTC ke-20, Saifuddin Nasution turut dijadualkan menyertai empat mesyuarat konsultasi bersama dengan rakan dialog ASEAN, iaitu AMMTC Plus Three ke-16, AMMTC Plus China ke-13, AMMTC Plus Jepun ke-11 dan AMMTC Plus Korea ketujuh.

“Penyertaan Malaysia dalam konsultasi ini akan memberikan tumpuan kepada pengukuhan kerjasama praktikal, khususnya pembangunan keupayaan penguatkuasaan, forensik digital, siasatan kewangan, pengesanan aset maya, perkongsian risikan serta pelaksanaan program latihan bersama,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama strategik dengan China, Jepun dan Korea merupakan antara pendekatan penting, bagi memperkukuh kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan serantau dalam menghadapi perubahan landskap jenayah yang semakin dinamik.

Malaysia turut memainkan peranan sebagai Pengerusi Bersama Konsultasi AMMTC Plus China ke-13, selaras dengan tanggungjawab negara sebagai Negara Penyelaras ASEAN bagi kerjasama ASEAN-China dalam membanteras jenayah rentas sempadan.

“Dalam kapasiti ini, Malaysia akan memberikan perhatian kepada pelaksanaan Pelan Kerja ASEAN-China Mengenai Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan (2024-2028), serta cadangan Memorandum Persefahaman antara ASEAN dengan China mengenai kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa penyertaan Malaysia dalam mesyuarat berkenaan, mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh keselamatan negara melalui kerjasama antarabangsa, di samping menyumbang secara aktif kepada usaha ASEAN membina rantau yang lebih selamat, stabil dan berdaya tahan terhadap ancaman jenayah rentas sempadan.– BERNAMA