KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem pengurusan klinik berasaskan awan (Cloud-Based Clinic Management System atau CCMS) menunjukkan perkembangan positif dalam mengurangkan masa menunggu pesakit apabila 86.7 peratus pesakit yang dilaporkan berjaya berjumpa doktor dalam tempoh kurang 60 minit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha pendigitalan perkhidmatan kesihatan, khususnya melalui penyelarasan sistem pengurusan pesakit dan rekod perubatan elektronik di fasiliti kesihatan kerajaan.
Menurutnya, pelaksanaan CCMS di Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan kini mencapai tahap 100 peratus, sekali gus membolehkan integrasi sistem pengurusan klinik dilaksanakan sepenuhnya di kedua-dua wilayah berkenaan.
“Kalau kita ambillah dari segi pencapaian, kita lihat 86.7 peratus pesakit kini berjumpa doktor dalam tempoh kurang 60 minit. Dulu dua, tiga jam, sekarang ini sasarannya 60 minit,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Beliau berkata, selain mempercepatkan akses berjumpa doktor, sistem berkenaan turut membantu melancarkan keseluruhan proses rawatan apabila 60 peratus pesakit dilaporkan dapat menyelesaikan urusan sehingga menerima ubat dalam tempoh kurang 30 minit.
Sebagai latar belakang, Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu memperuntukkan RM1 bilion menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mempercepatkan pelaksanaan projek EMR di fasiliti kesihatan seluruh negara, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh infrastruktur kesihatan digital.
Usaha berkenaan merupakan kesinambungan agenda pendigitalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyaksikan sebanyak 412 klinik kesihatan dilengkapi CCMS sehingga akhir 2025, dengan tambahan 137 klinik disasarkan untuk didigitalkan sepanjang 2026, manakala baki 588 klinik kesihatan dijadualkan melengkapkan proses pendigitalan menjelang akhir 2027.
Pelaksanaan sistem digital secara lebih meluas dijangka membantu KKM meningkatkan kecekapan pengurusan rekod pesakit, mempercepatkan penyampaian perkhidmatan serta mengurangkan kebergantungan kepada dokumentasi manual, sekali gus menyokong usaha memperkukuh akses dan kualiti rawatan di fasiliti kesihatan awam seluruh negara. -Astro Awani
