Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Usaha reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sejak empat tahun lalu membantu melonjakkan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia berpotensi mencapai kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang lebih baik dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang sekiranya seluruh jentera kerajaan terus memberikan tumpuan kepada pelaksanaan dasar secara berkesan.

“Saya yakin bagi kita dua hingga tiga tahun ini, kita boleh melonjakkan kekuatan ekonomi, keselesaan rakyat jauh lebih baik daripada yang kita unjurkan,” kata beliau pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini. null

Anwar berkata, usaha reformasi itu merangkumi pengukuhan pengurusan fiskal, penyasaran subsidi dan penambahbaikan tata kelola kerajaan, membolehkan negara terus mencatat perkembangan positif meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau berkata, prestasi ekonomi negara dapat dilihat melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar pengangguran dan inflasi, selain penurunan kadar kemiskinan tegar kepada 0.09 peratus.

Menurutnya, pencapaian itu perlu dilihat dalam konteks cabaran ekonomi semasa, termasuk kenaikan harga minyak mentah dunia yang jauh melebihi andaian ketika kerajaan membuat unjuran ekonomi tahun lepas.

Anwar berkata, unjuran ketika itu dibuat berdasarkan harga minyak sekitar AS$70 setong, namun harga semasa telah meningkat kepada antara AS$110 dan AS$120 setong.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak boleh memberi tekanan kepada harga barangan dan kos sara hidup, sekali gus menyukarkan kerajaan memenuhi keperluan asas rakyat.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Dalam laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Suku Ketiga 2026, DOSM memaklumkan ini disokong oleh prestasi positif merentas kesemua sektor ekonomi, kecuali perlombongan dan pengkuarian yang merekodkan penguncupan. 

“Secara kumulatif, bagi tiga suku tahun pertama tahun 2026, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus, lebih tinggi berbanding 4.8 peratus yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2025,” menurutnya pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan masih berupaya mengurangkan defisit fiskal selain meneruskan usaha menyokong ekonomi dan membantu rakyat menerusi pengurusan ekonomi yang berhemat.

Beliau turut menegaskan kepentingan mengurus hutang negara secara bertanggungjawab bagi memastikan pinjaman dibuat mengikut keperluan dan tidak membebankan generasi akan datang.

“Kerajaan yang bertanggungjawab bermakna hanya membuat pinjaman mengikut keperluan untuk menguruskan ekonomi.

“Namun, kita perlu sentiasa merancang lebih awal dan tidak seharusnya membebankan generasi akan datang untuk menanggung perbelanjaan berlebihan pada masa ini,” kata beliau.

Anwar berkata, reformasi ekonomi juga perlu disokong pembaharuan institusi bagi memperkukuh tata kelola, termasuk melalui pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Menurutnya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh mekanisme semak dan imbang serta memastikan pengurusan pentadbiran negara lebih matang dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, usaha memperkukuh ekonomi perlu berjalan seiring dengan penyelesaian isu yang dekat dengan kehidupan rakyat, termasuk pendapatan pekerja, kadar sewa rumah, harga barangan keperluan dan keperluan pembangunan prasarana asas di negeri yang masih ketinggalan.

Katanya, kerangka Ekonomi MADANI perlu mengimbangi usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan dan memperluas penggunaan teknologi dengan keperluan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat.

Anwar berkata, kejayaan agenda reformasi itu bergantung pada komitmen semua pihak dalam melaksanakan dasar dengan amanah, mengelak ketirisan dan membanteras rasuah.-BERNAMA