Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan dakwaan pembayaran lewat sebagai punca Lebuh Raya Pan Borneo gagal dibina mengikut jadual asal pelaksanaan projek.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata ia sebaliknya berpunca akibat masalah dalam kalangan kontraktor, selain didorong penamatan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP), pada 2019.

Beliau berkata, kelewatan juga berpunca akibat keadaan cuaca, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti, pandemik COVID-19, tadbir urus projek dan tahap prestasi kontraktor di tapak.

Justeru, katanya, pelbagai langkah mitigasi sudah dan sedang diambil bagi memastikan projek mega merangkumi jarak keseluruhan 706 kilometer (km) yang dipecahkan kepada 35 pakej kerja itu dapat disiapkan mengikut jadual.

“Strategi pelaksanaannya pula dibahagi kepada dua komponen iaitu Fasa 1A merangkumi 16 pakej kerja, manakala Fasa 1B yang membabitkan 19 pakej kerja.

“Empat pakej kerja sudah siap sepenuhnya, manakala baki 31 lagi akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka disiapkan pada 2030, berdasarkan pakej terakhir WP35 yang ditandatangani tahun ini.

“Sehingga kini, kemajuan fizikal bagi Fasa 1A ialah 89.01 peratus, manakala Fasa 1B yang baru bermula pula 23.96 peratus, selain sembilan lagi pakej kerja bagi Pakej 1A dijangka siap sepenuhnya antara hujung tahun ini hingga awal 2027.

“Projek pembinaan lebuh raya ini merangkumi pelbagai proses termasuk skop pengambilan balik tanah dan pengalihan utiliti dengan prosesnya membabitkan tindakan pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta,” katanya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) mengenai status pelaksanaan terkini pakej pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan strategi mitigasi menyegerakan kontraktor penyelamat menyelesaikan baki jajaran mengalami kelewatan struktur.

Mengenai langkah mitigasi, Ahmad berkata, pemantauan dibuat secara berkala, selain KKR memacu dan menubuhkan jawatankuasa pemandu atau pasukan petugas bagi memantau pelaksanaan projek dan prestasi kontraktor secara intensif.

Beliau berkata, pasukan berkenaan turut ditugaskan untuk mengenal pasti isu kelewatan projek dan pelaksanaan langkah penyelesaian secara inklusif terhadap masalah berbangkit.

Selain itu, katanya, pelaksanaan sesi libat urus bersama agensi seliaan KKR serta mengadakan mesyuarat dan sesi libat urus secara berkala dengan agensi kerajaan dan pihak swasta berkaitan.

“Sesi ini bukan sahaja di peringkat Sabah, tetapi membabitkan pelbagai peringkat lain, seperti mesyuarat antara pengurusan tertinggi KKR, pengurusan tertinggi syarikat penyedia utiliti dan komunikasi.” katanya.

Menjawab soalan tambahan Wetrom, Ahmad berkata, pembayaran kewangan sebanyak 88.78 peratus dibuat bagi Fasa 1A membabitkan 15 pakej apabila jadualnya kerjanya mencapai 89.54 peratus.

“Pembayaran kewangan sebanyak 22.11 peratus sudah dibuat bagi Fasa 1B yang jadual kerjanya baru sahaja bermula, berbanding nilai 20.73 peratus yang sepatutnya dilunaskan,” katanya. -BH Online