Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia Airlines dan syarikat teknologi multinasional, Google bekerjasama untuk memacu peningkatan Malaysia sebagai destinasi pelancongan peringkat teratas sambil mendorong evolusi digital dalam sektor penerbangan. 

Perkongsian dinamik itu mewakili pencapaian penting dalam usaha Malaysia Airlines ke arah mendigitalkan kemajuan komersial bagi merangsang pertumbuhan dan permintaan daripada pasaran utama, mengukuhkan dedikasinya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pusat pengembara antarabangsa.

Ketua Pegawai Komersial Malaysia Aviation Group (Syarikat Penerbangan), Dersenish Aresandiran melalui satu kenyataan berkata, sebagai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines amat komited untuk memacu pertumbuhan pelancongan dan memupuk pembangunan ekonomi di negara ini.

“Dengan memanfaatkan kuasa inovasi dan kepakaran teknologi Google, kami yakin dapat membuka peluang baharu, meningkatkan pengalaman perjalanan selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan terkemuka di rantau ini, sejajar dengan wawasan kerajaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Google Malaysia, Pakistan dan Pasaran Perbatasan, Farhan Qureshi, berkata sektor pelancongan Malaysia bersedia untuk pertumbuhan yang ketara dan Google komited menyokong Malaysia Airlines dalam memanfaatkan peluang ini.

Dengan bekerjasama dengan Google, Malaysia Airlines mahu memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi digital yang canggih bagi meningkatkan operasi komersialnya, menyelaraskan proses dan menyediakan pengalaman yang disesuaikan kepada pengembara.

Kerjasama itu bertujuan untuk memupuk pertumbuhan serta inovasi yang berterusan merentas pelbagai domain produk kritikal, merangkumi Google Pay, Google Flights dan penyelesaian pemasaran dikuasakan AI, membolehkannya memupuk ekosistem holistik yang mengutamakan pengalaman pelanggan yang lancar. 

Dengan permintaan perjalanan ditetapkan untuk melepasi tahap prapandemik, syarikat penerbangan itu juga merancang memanfaatkan penyelesaian inovatif bagi memacu pertumbuhan dan saluran pemasarannya, meletakkan syarikat penerbangan itu untuk pelan pengembangan rangkaian yang besar tahun ini.

Malaysia Airlines yang menggunakan Performance Max yang dikuasakan AI Google akan boleh meningkatkan kempen pemasarannya, menjamin jangkauan yang lebih luas, kaitan dan pulangan pelaburan dalam pasaran perjalanan yang sangat kompetitif.-BH Online