Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pasar Borong Selangor di sini, yang menjadi tumpuan warga asing, terutama Myanmar dan Bangladesh untuk bekerja dan terbabit dalam perniagaan, terus digempur Jabatan Imigresen.

Serbuan terbaharu awal pagi ini digerakkan Jabatan Imigresen Selangor menerusi Op Bersepadu dengan kerjasama beberapa agensi lain.

Ia turut disertai Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dalam gerakan kira-kira jam 3 pagi, sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak ‘menggadai nyawa’ dengan melintas jalan utama ketika kenderaan sedang bergerak bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Selain itu, dua warga asing turut bersembunyi dalam longkang besar, namun berjaya dikesan pasukan operasi.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, berkata seramai 530 warga asing, termasuk 11 wanita diperiksa dalam operasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan warga asing itu melakukan kesalahan dokumen perjalanan, salah guna pas serta tinggal lebih masa,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Turut hadir, Datuk Bandar MBSJ, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Khairrul Aminus berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Selangor untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.-BH Online