KOTA BHARU: Sebanyak 171 individu ditahan kerana menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand secara haram di Kelantan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Aisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata daripada jumlah itu, 110 membabitkan rakyat negara ini manakala 58 warga Thailand dan masing-masing seorang warga Indonesia, Myanmar dan Nigeria.
Beliau berkata, semua ditahan menerusi Ops Taring Wawasan itu berusia 20 hingga 60 tahun membabitkan 137 lelaki serta 34 wanita dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
“Antara faktor yang mendorong individu itu menggunakan laluan haram termasuk mahu mengelak pemeriksaan di pintu keluar dan masuk yang sah, pergi berhibur, ziarah keluarga, masalah dokumen perjalanan dan memasuki Malaysia untuk bekerja (bagi warga Thailand),” katanya.
Ahmad Radzi berkata, kebanyakan yang ditahan biasanya keluar atau masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram dengan menaiki bot tambang antara RM5 hingga RM10 mengikut waktu tertentu.
Katanya, hasil pemantauan mendapati laluan tidak diwartakan masih lagi cuba digunakan kerana terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk membantu individu merentas sempadan tanpa melalui prosedur ditetapkan.
“Kita akan terus memperketat kawalan dan meningkatkan rondaan di kawasan yang dikenal pasti berisiko khususnya di sepanjang Sungai Golok.
“Tindakan penguatkuasaan turut memberi tumpuan kepada kegiatan penyeludupan migran dan pihak yang cuba membantu kemasukan warga asing secara tidak sah,” katanya.
Beliau berkata, PGA akan terus memperkukuh kawalan sempadan bagi membendung pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti merentas sempadan secara haram demi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara. -BH Online
