Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sistem pembiayaan antarabangsa perlu diperbaharui supaya menjadi lebih adil dan tidak menjerumuskan negara membangun ke dalam beban hutang yang tidak tertanggung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata gesaan itu penting ketika dunia kini berdepan dengan cabaran perubahan dalam landskap ekonomi, geopolitik dan perkembangan teknologi yang pesat.

Katanya, sebahagian besar negara yang sedang membangun dilihat masih lagi bergelut untuk mencapai kemajuan ekonomi.

“Terlalu banyak negara dibelenggu hutang sehingga lebih banyak dibelanjakan untuk membayar faedah berbanding berbelanja untuk pendidikan atau kesihatan.

“Justeru, sistem pembiayaan antarabangsa perlu lebih adil dan tidak menjerumuskan negara ke dalam hutang yang tidak tertanggung hanya kerana mahu memenuhi keperluan asas rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika berucap di hadapan pimpinan dunia pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, India, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, turut menekankan keperluan mempercepatkan inisiatif melalui Bank Pembangunan Baharu (NDB), selain memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan memanfaatkan potensi besar pasaran modal Islam.

Anwar berkata, negara anggota BRICS juga perlu mengambil langkah nyata bagi merungkai amalan perdagangan tidak adil, berkongsi pengalaman pembangunan serta memperkukuh kerjasama dalam bidang baharu termasuk semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

“Peralihan hijau mesti mengambil kira realiti dan tahap pembangunan setiap negara kerana tidak semua mampu bergerak pada kadar atau melalui jalan yang sama.

“BRICS memiliki kelebihan geoekonomi menerusi pasarannya yang luas, sekali gus membuka ruang mempelbagaikan perdagangan, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional Barat serta menjana kemakmuran bersama,” katanya.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun usaha mencapai pertumbuhan terangkum itu tidak akan bermakna selagi peperangan terus melonjakkan harga tenaga dan mengancam laluan laut yang menjadi nadi ekonomi dunia.

Pencerobohan Israel di Asia Barat turut menyebabkan negara-negara yang tidak terbabit dalam peperangan ini menanggung akibat melalui inflasi dan ketidaktentuan ekonomi. 

“Pendirian Malaysia jelas iaitu kedaulatan mesti dihormati, orang awam dilindungi dan laluan utama ekonomi dunia tidak boleh dijadikan medan pertempuran,” katanya.

Menurut Anwar, BRICS perlu berani menyatakan pendirian mengenai pendudukan haram, penjajahan dan keganasan Israel tidak boleh terus dibiarkan.

“Setiap nyawa manusia wajib dipertahankan tanpa mengira di mana mereka berada.

“Bagi Malaysia, autonomi strategik bererti kebebasan menentukan haluan serta keberanian mempertahankan pendirian tatkala diuji. 

“Sebagai Negara Rakan BRICS, Malaysia bersedia menyumbang dengan semangat ini,” katanya. -BH Online