PUTRAJAYA: Malaysia memilih pendekatan diplomasi dengan Myanmar dalam menangani isu pelarian negara itu yang berada di sini, biarpun berdepan kecaman dan kritikan antarabangsa terhadap pendirian kerajaan menanganinya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pendekatan itu diambil bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan selepas pelbagai teguran dan kecaman terhadap Myanmar sejak 20 hingga 30 tahun lalu tidak membawa perubahan ketara terhadap dasar negara itu.
Katanya, usaha menjalin hubungan diplomatik dengan Myanmar bukan bermakna Malaysia bersetuju atau merestui tindakan negara itu ke atas etnik Rohingya, sebaliknya menjadi saluran mendapatkan kerjasama bagi menangani isu pelarian.
“Jadi, saya fikir jalan keluarnya ialah untuk cuba menembus hubungan diplomatik dengan Myanmar.
“Bukan kita kata kita setuju orang itu (pelarian) diusir. Kita tak katakan umpamanya membiarkan apa yang dilakukan tetapi saya sebut, saya kata kita nak bersahabat dengan Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan berhubung isu pelarian Myanmar pada sesi soal jawab Majlis Ilmu MADANI Bersama Perdana Menteri yang dihadiri pendakwa Indonesia terkenal, Ustaz Abdul Somad Batubara di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, hasil perbincangan dengan Myanmar, mereka bersetuju membawa pulang sebahagian rakyatnya yang berada di Malaysia dengan kos pengangkutan ditanggung sendiri, termasuk menggunakan pesawat serta kapal tentera milik negara itu.
Katanya, kira-kira 10,300 pelarian Myanmar sudah dibawa pulang setakat ini, manakala 3,000 lagi dijangka mengikuti proses penghantaran pulang pada bulan ini.
Beliau berkata, usaha itu adalah langkah sementara yang boleh dilaksanakan Malaysia dalam menangani isu pelarian, walaupun mengakui ia belum mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan masalah berkenaan.
“Apakah mencukupi? Tidak. Apakah dengan ini saya merestui semua keterlanjuran dia? Tidak. Tetapi saya fikir ini jalan sementara yang boleh kita lakukan,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan aspek keselamatan perlu diberikan perhatian dalam proses penghantaran pulang, susulan kebimbangan bahawa mereka yang kembali ke Myanmar mungkin berdepan risiko terhadap keselamatan diri.
Beliau berkata, Malaysia sudah meminta jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa Myanmar, namun mengakui kemampuan untuk mempengaruhi keadaan di negara berkenaan mempunyai batasan.
Justeru, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomasi bagi mendapatkan kerjasama Myanmar, termasuk mengurangkan jumlah pelarian yang berada di negara ini secara berperingkat.-BH Online
