Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Elaun RM8 sejam yang diterima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) perlu disemak semula ke julat yang munasabah kerana kadar itu kini berada di bawah paras gaji minimum, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Berdasarkan kiraan mudah, beliau memberi contoh, anggota RELA yang bertugas lapan jam sehari selama 24 hari menerima upah lebih rendah berbanding RM1,700 ditetapkan bagi kadar gaji minimum.

Katanya, jika anggota bertugas sehingga 12 jam sehari dalam tempoh sama, jumlah diterima hanya melebihi sedikit daripada kadar gaji minimum.

“RM1,700 adalah kadar gaji minimum. Dengan mereka bertugas selama 24 hari, RM8 satu jam, kalau lapan jam sehari (bermakna) RM64 sehari dan RM64 kali 24 hari, (kadar itu) bawah daripada gaji minimum.

“Kalau mereka bertugas 12 jam, RM96 kali 24 hari, lebih sedikit sahaja daripada kadar gaji minimum,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.-BH Online