Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 902 klinik kesihatan di seluruh negara melaksanakan pendekatan kesihatan paru-paru bersepadu menjelang akhir tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan itu adalah sebahagian daripada Inisiatif Paru-paru Sihat 2025–2030 bagi menangani beban penyakit pernafasan di negara ini.

Katanya, pendekatan berkenaan menggabungkan promosi kesihatan, saringan, usaha berhenti merokok dan laluan rujukan dalam satu kesinambungan penjagaan berpusatkan individu.

“Kita melaksanakan tindakan secara agresif di dalam negara kerana di Malaysia, penyakit paru-paru adalah antara tiga penyebab utama kemasukan ke hospital dan kematian.

“Penyakit pernafasan kronik seperti asma dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) menjejaskan sebahagian besar penduduk,” ketika ketika pada perasmian Mesyuarat Saintifik Tahunan 2026 Unit Penyelidikan Kesihatan Global Institut Penyelidikan Kesihatan dan Penjagaan Kebangsaan (NIHR) mengenai Kesihatan Pernafasan (RESPIRE), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaya (UM) Profesor Ir Dr Kaharudin Dimyati dan Pengarah Pusat Perubatan UM, Profesor Dr Mohd Zukiflee Abu Bakar.

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, enam peratus orang dewasa serta sehingga 13 peratus kanak-kanak menghidap asma.

“Kira-kira satu daripada tiga penghidap asma pula belum didiagnosis, manakala tuberkulosis terus memberi beban besar kepada sistem kesihatan negara.

“Pada 2024, kadar insiden tuberkulosis direkodkan sebanyak 96 kes bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya.

Beliau berkata, KKM juga memperluas penggunaan saringan X-ray dada dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan pengesanan awal penyakit.

“Antara usaha berkenaan ialah Program Lung Shield IHH-KKM-PDRM yang menyasarkan saringan secara proaktif terhadap 10,000 anggota polis trafik di barisan hadapan,” katanya.

Menurutnya, pangkalan data khusus dikenali sebagai NALURY atau Daftar Kesihatan Paru-paru Kebangsaan turut diwujudkan bagi menyokong pemantauan dan penilaian program.

“KKM juga menangani punca penyakit pernafasan menerusi penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), terutama bagi melindungi golongan muda daripada pemasaran vape dan rokok elektronik.

“Kita turut memanfaatkan inovasi digital seperti pendamping AI Cik Era untuk menyediakan sokongan berhenti merokok yang mudah diakses menerusi peranti mudah alih,” katanya.

Mengenai program hari ini, beliau berkata, RESPIRE berjaya menghimpunkan rakan kerjasama dari Asia Tenggara, Asia Selatan dan United Kingdom untuk menangani keutamaan kesihatan pernafasan menerusi penyelidikan, pengukuhan kapasiti dan jalinan kerjasama. 

“Saya difahamkan ini ialah Mesyuarat Saintifik Tahunan terakhir bagi program RESPIRE ketika ini. 

“Bagaimanapun, saya berharap ia bukan pengakhiran kepada jalinan kerjasama ini, sebaliknya peluang untuk menyalurkan pengalaman kolektif kita ke arah kerjasama yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan.

“Saya menggalakkan komuniti RESPIRE untuk terus bekerjasama dengan kementerian kesihatan masing-masing bagi menterjemahkan hasil penyelidikan kepada amalan klinikal dan dasar,” katanya.-BH Online