Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Penjawat awam sedia ada yang telah memilih skim pencen, tidak akan terkesan dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang bakal dimuktamadkan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, kerajaan komited memastikan kebajikan serta kesejahteraan penjawat awam dan pesara sentiasa terbela.

“Saya ingin menekankan dari segi pencen, kerajaan tidak berhasrat untuk mengubah (skim pencen) pada mereka yang sedia ada. Jadi kalau penjawat awam itu sudah bekerja dengan kerajaan, tiada apa akan bertukar. Bagi mereka yang baru masuk, dia akan masuk secara kontrak buat masa sekarang.

“Siapa yang sudah berada dalam sistem sekarang, kita tidak ubah, itu adalah janji yang kita telah buat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya di sini, hari ini, selepas dilantik menyertai Kabinet pada 12 Disember lalu susulan rombakan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Amir Hamzah memaklumkan tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM31 bilion bagi pembayaran pencen kepada pesara, dan angka itu dijangka meningkat kepada RM120 bilion pada 2040.

Beliau turut menarik perhatian bahawa dari segi pengurusan kewangan negara, 48 peratus Belanjawan disalurkan kepada emolumen dan pencen.

“Jika dapat diringankan beban (kerajaan) yang ada, kelebihan itu boleh disalurkan kepada bahagian lain yang penting untuk rakyat dan negara, seperti pendidikan serta kemudahan infrastruktur lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memahami peranan penjawat awam adalah penting dalam pentadbiran negara.

Justeru, katanya, kerajaan komited menambah baik kebajikan penjawat awam, antara lain melalui pemberian bonus RM2,000 yang akan dibayar pada bulan depan, serta peruntukan RM2.4 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital, anggota polis, tentera serta bomba.

“Kerajaan juga akan memuktamadkan pelarasan gaji penjawat awam, tahun ini, selepas kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.

“Secara keseluruhan, kerajaan peka dan akan melakukan yang penting untuk kebaikan penjawat awam,” katanya.

Pada Selasa lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu surat pekeliling bertarikh 15 Januari, menyatakan suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan ke arah mengukuhkan lagi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam di Malaysia.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dalam pekeliling berkenaan memaklumkan susulan penetapan kaedah lantikan tetap baharu itu, Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah terbabit, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS), berkuat kuasa tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dilaporkan berkata pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak dilakukan untuk tempoh singkat sebelum Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen. – Bernama