Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil membidas dakwaan pembangkang bahawa tiada jaminan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri akan diterima oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Sebaliknya, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, Anwar Ibrahim telah “membuka ruang” dua kali untuk berdepan usul undi tidak percaya ketika di Dewan Rakyat.
“Tidak benar. Mungkin Ahli Parlimen Pasir Mas (Fadhli Shaari) sudah lupa atau malas nak ingat,” katanya dalam satu hantaran di laman X, hari ini.
Dia turut melampirkan dua laporan media mengenai kenyataan Anwar pada 30 Julai lalu yang sedia memendekkan tempoh memfailkan notis kepada tiga hari, berbanding 14 hari jika pembangkang mempunyai sokongan mencukupi bagi membawa usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.
Semalam, Anwar berkata, pembangkang tidak mempunyai kekuatan untuk meneruskan usaha menumbangkan kerajaan pusat sedia ada dengan memulakan undi tidak percaya di Parlimen.
Sebaliknya, Anwar berkata mereka hanya terus memainkan persepsi bagi untuk terus menipu penyokong mereka.
Namun ini disangkal oleh Ahmad Fadhli yang juga adalah ketua penerangan PAS. Katanya, sebelum ini beberapa usul difailkan oleh pembangkang ditolak ‘mentah-mentah’ oleh speaker.
“Tiada jaminan bahawa usul tidak percaya akan diterima untuk dibahas dan diundi.
“Usul tidak percaya bukan satu-satunya kaedah menukar kerajaan, malah tidak pernah berlaku di negara ini,” katanya yang dipetik oleh media.