Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan meneliti kesan penarikan diri firma Jepun daripada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura terhadap projek itu.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan meneliti laporan sebuah firma Jepun yang membuat keputusan membatalkan rancangan untuk terbabit dalam projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

“Saya ada terima laporan itu tadi, kami akan teliti perkara berkenaan,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Hijrah Desa Pinggiran Putra, hari ini.

Mengikut laporan agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber, syarikat negara itu termasuk East Japan Railway Co, berharap untuk menggunakan sistem kereta api peluru Shinkansen Jepun dalam projek itu, tetapi mereka telah memutuskan ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia.

Perkembangan itu dijangka memberi laluan kepada pesaing perniagaan dari China mengukuhkan lagi jejak mereka dalam pembinaan infrastruktur di Asia Timur selepas menyiapkan kereta api berkelajuan tinggi pada 2023 di Indonesia dan kini sedang membina satu lagi projek di Thailand.

Sumber itu berkata, pada ketika firma kerajaan Jepun membatalkan rancangan mereka, beberapa syarikat tempatan bercadang bekerjasama dengan syarikat China dan Eropah untuk membuat bidaan.

Pada Julai 2023, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR) melancarkan proses Permintaan Maklumat (RFI) bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep HSR KL-Singapura melalui model perkongsian awam swasta (PFI).

Pelaksanaan proses RFI itu juga menandakan inisiatif kerajaan dalam usaha melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura menerusi mekanisme pembiayaan dan model pelaksanaan yang baharu, selain usaha untuk mempertingkat infrastruktur pengangkutan rel dan merancakkan ekonomi negara.

Tarikh akhir penyerahan RFI bagi projek HSR KL-Singapura telah dilanjutkan hingga 15 Januari 2024, berbanding tarikh asalnya yang ditetapkan pada 15 November 2023.

Pada 27 Julai 2023, MyHSR Corp telah mengadakan taklimat RFI untuk projek HSR, yang dikatakan menarik lebih 700 peserta tempatan dan asing.

Kerajaan timbang permohonan Najib terhadap dokumentari Netflix

Mengulas permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tindakan diambil untuk menurunkan dan melarang tayangan dokumentari bertajuk ‘Man On The Run’ dalam platform penstriman Netflix, Anwar berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan perkara itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib menghantar surat kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Pengawal Selia MCMC Datuk Zulkairnain Mohd Yasin, memohon supaya mengambil tindakan dengan menurunkan serta melarang tayangan dokumentari itu di Netflix.

Laporan media menyebut Muhammad Shafee mahu kerajaan menarik penyiaran dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu di Malaysia kerana berpendapat ia bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Yang itu mereka (kerajaan) akan pertimbangkan,” kata Anwar.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Al-Hidayah, dan sebelum itu makan tengah hari di Restoran Arham, berhampiran dan disaji dengan menu asam pedas.