Sorting by

×

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mahu warga Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia terus fokus kepada pelaksanaan kerja yang cekap dan berkualiti untuk memastikan perkhidmatan yang memuaskan dapat disalurkan kepada rakyat.

Perkara itu dinyatakan oleh Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dalam lawatan ke pejabat SEDA Malaysia di Putrajaya semalam.

Menurut SEDA Malaysia dalam kenyataan, Fadillah turut yakin dengan kerjasama dan hubungan yang akrab antara agensi dan kementerian dalam menjalankan inisiatif serta program yang dapat menyumbang kepada kelestarian dan kemampanan ekonomi negara.

“Sebagai antara agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA), SEDA Malaysia komited untuk menyokong kepimpinan Fadillah dalam memastikan negara mencapai aspirasi negara neutral karbon pada 2050,” katanya.

Dalam lawatan itu, Fadillah disambut Pengerusi SEDA Malaysia Ahmad Zairin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Hamzah Hussin serta anggota pihak berkuasa dan pengurusan SEDA Malaysia.

Turut diadakan satu taklimat ringkas untuk memperkenalkan SEDA Malaysia dan fungsi-fungsinya dalam menerajui industri tenaga lestari negara.-Bernama