Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menerima sebarang arahan bagi penutupan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Muadzam Shah, Rompin, Pahang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya sudah membuat semakan berkaitan isu itu namun sehingga kini tiada sebarang notis diterima berkaitan isu berkenaan.

“Tidak sampai berita itu kepada saya, walaupun saya ada mendengar berkaitan isu sama daripada pihak luar. Tetapi saya nak maklumkan sehingga kini tidak ada arahan secara terus atau pun disampaikan secara tidak langsung kepada pengetahuan saya.

“Saya juga sudah maklumkan kepada Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) semalam ketika beliau bangkitkan perkara yang sebegini, saya kata berdasarkan maklumat yang saya semak dengan pegawai kanan saya, sama ada betulkah ada usul ini, tetapi mereka maklumkan tidak ada seperti yang digembar gemburkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024 di Dewan Tunku Cancelor, Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Kerajaan Pahang tidak bersetuju dengan cadangan penutupan universiti berkenaan dan mahu keputusan itu dikaji semula.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus mempertahankan supaya universiti yang ditubuhkan pada tahun 2001 itu tetap beroperasi di Muadzam Shah dan penutupan pengoperasian UNITEN itu akan memberi implikasi yang tidak baik kepada anak-anak muda melanjutkan pelajaran dan merencatkan ekonomi setempat.

Malah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Ahmad Azlan Abu Bakar senada dengan Wan Rosdy dan memaklumkan penutupan universiti itu bakal memberi kesan tidak baik kepada rakyat berkaitan pengajian anak-anak muda.

“Muadzam Shah sinonim dengan gelaran hab pendidikan Pahang kerana terdapatnya UNITEN, politeknik, kolej vokasional, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan beberapa sekolah harian di bawah Kementerian Pendidikan.

“Ia juga menggalakkan perkembangan ekonomi kepada penduduk setempat khususnya buat penduduk di DUN (Dewan Undangan Negeri) Muadzam Shah secara khususnya dan Parlimen Rompin secara amnya,” katanya.-BH Online