Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pelantikan Peguam Syarie di Perak kini tidak lagi perlu melalui ujian dan temuduga.

Titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mereka hanya perlu mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa berkaitan untuk diperakukan boleh beramal.

Langkah berkenaan dipercayai akan memudahkan hasrat para peguam syarie yang mahu melakukan amalan guaman di negeri Perak.

Di samping memberikan manfaat kepada anak guaman mempunyai pilihan mendapatkan khidmat guaman syarie lebih luas.

“Menyahut titah nasihat Beta, bermula 18 Oktober 2023, Jawatankuasa berkenaan telah memperakukan tatacara penerimaan peguam syarie menurut Seksyen 69 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, yang membolehkan mana-mana orang yang berkelayakan, yang telah memiliki sijil amalan guaman syarie di mana-mana negeri, diterima untuk beramal di negeri Perak tanpa lagi perlu melalui ujian dan temu duga.

Kini, mereka hanya perlu mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa berkaitan untuk diperakukan boleh beramal sebagai peguam syarie di negeri Perak”, titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota Majlis bagi penggal 2024-2025 serta Majlis Penyerahan Zakat di Kompleks Islam Darul Ridzuan Ipoh.

Sebelum ini, Kaedah-kaedah Peguam Syarie Perak (2003) mensyaratkan seseorang yang berhasrat menjadi pengamal peguam syarie di negeri Perak memiliki kelayakan akademik yang diiktiraf, perlu menjalani peperiksaan atau temu duga yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Penerimaan Peguam Syarie.  

Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan mengurniakan watikah lantikan seorang Hakim Mahkamah Rayuan Utama Syariah, dan enam orang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.  

Pengurniaan watikah hari ini turut menyaksikan Nor Hadina Ahmad Zabidi wanita pertama dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak.-Berita RTM