KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 jenis barangan akan terlibat dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, skim itu akan dilaksanakan bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini membabitkan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut beliau, pelaksanaan itu mengambil kira kepentingan pengguna dan peniaga bagi memastikan harga barangan keperluan kekal berpatutan sepanjang musim perayaan.
“Bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2026 di Sabah, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 10 jenis pada tahun lalu, dengan penambahan halia tua import dan ubi kentang dari China.
“Barangan terlibat ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import dari India, kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil dari India, bawang putih dari China, bawang kuning besar, bawang merah besar, halia tua import dan ubi kentang dari China.
“Bagi Labuan pula, 11 jenis barangan disenaraikan, iaitu daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import dari India, kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil dari India, bawang putih dari China, bawang kuning besar, bawang merah besar, halia tua import dan ubi kentang dari China,” katanya selepas meninjau Program Jualan Rahmah (PJR) MADANI di Kundasang, Sabah pada Jumaat.
Armizan berkata, perbandingan pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan bagi 2025 dan 2026 menunjukkan trend harga lebih stabil di Sabah dan Labuan.
“Di Sabah, enam barangan mencatatkan penurunan harga, tiga kekal dan dua barangan baharu diperkenalkan. Trend sama turut direkodkan di Labuan dengan enam barangan mengalami penurunan harga, dua kekal dan dua barangan baharu diperkenalkan,” ujarnya.
Sementara itu, bagi SHMMP Hari Gawai 2026 di Sarawak pula, Armizan memaklumkan sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 11 jenis tahun lalu dengan penambahan daging kerbau import dari India.
“Antara barangan yang terlibat ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import, bawang putih dari China, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan,” tambahnya.
Armizan berkata, SHMMP dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dengan pegawai penguat kuasa KPDN ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah.
Beliau berkata peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000.
Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu untuk barangan terkawal pula, individu boleh didenda sehingga RM10,000 dan syarikat sehingga RM20,000.-Astro Awani
