Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MEKAH: Jemaah haji Malaysia kini boleh menghantar kain ihram terpakai menerusi inisiatif Haji Lestari oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai usaha memupuk budaya sifar sisa menerusi pengurusan dan kitar semula.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata langkah terbaharu itu merupakan antara inisiatif kelestarian yang diperkasakan TH bagi menjadikan pengurusan haji Malaysia lebih mesra alam selaras aspirasi Visi Arab Saudi 2030.

Katanya, usaha itu juga bertujuan menyampaikan mesej kepada jemaah haji dan masyarakat dunia bahawa ibadah haji turut mempunyai dimensi pemeliharaan alam sekitar yang perlu diberi perhatian.

“Ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan membuktikan Malaysia ialah peneraju dalam haji lestari di dunia.

“Langkah ini sekali gus menjadikan negara antara ke hadapan dalam menyediakan satu ekosistem kelestarian di mana menyokong usaha kempen mengitar semula barang terpakai termasuk kain ihram jemaah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Haji Lestari, di sini, semalam.

Inisiatif Haji Lestari memberi tumpuan kepada pengurusan kain ihram terpakai menerusi dua fasa utama iaitu penubuhan pusat pengumpulan khas di kemudahan penginapan jemaah haji di Mekah serta kawasan perkhemahan di Mina.

Fasa kedua pula melibatkan proses kitar semula sebelum dijadikan produk bernilai tambah bagi mengurangkan pembaziran dan menyokong amalan kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, Zulkifli berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap aspek kesihatan dan kebajikan jemaah haji Malaysia termasuk mereka yang menerima rawatan di hospital di Arab Saudi.

Katanya, setiap jemaah sama ada dirawat di hospital swasta mahupun kerajaan tetap dipantau oleh pakar perubatan Malaysia selain diberikan bimbingan serta susulan rawatan yang sangat baik.

“Ini membuktikan Malaysia mempunyai pasukan petugas kesihatan yang sangat profesional dan dalam masa sama jemaah haji kita berasa selesa kerana petugas kita sangat terlatih bukan sahaja dari sudut kepakaran perubatan tetapi juga komunikasi dan cara menyantuni jemaah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata pihaknya turut menerima taklimat dan perbincangan terperinci bersama syarikat penyedia perkhidmatan haji bagi memastikan persiapan di kawasan masyair berjalan lancar menjelang wukuf di Arafah.

Katanya, tinjauan persiapan akhir di Arafah, Muzdalifah dan Mina dilakukan bagi memastikan semua kemudahan berada pada tahap terbaik demi keselesaan jemaah haji Malaysia.-Astro Awani