Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Kerja-kerja pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ketika ini projek berkenaan sedang dilaksanakan membabitkan pemanjangan landasan daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter.

Beliau berkata, pemanjangan landasan itu akan meningkatkan kapasiti operasi lapangan terbang berkenaan, sekali gus membuka potensi penerbangan antarabangsa bagi jarak sederhana dan jauh.

“Setakat ini penerbangan boleh di lakukan dari LTSIP hanya membabitkan destinasi ibu negara sekitar ASEAN.

“Untuk hari ini bagi penerbangan hanya dua hingga tiga jam seperti Thailand, Indonesia tiada masalah tetapi untuk perjalanan jauh seperti China, Korea memerlukan minyak yang lebih banyak, selain landasan yang lebih panjang untuk berlepas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Mengulas lanjut, Loke yakin LTSIP mampu menarik lebih ramai pengguna termasuk rakyat dari selatan Thailand untuk menggunakan kemudahan tersebut ke destinasi antarabangsa.-BH Online