Sorting by

×

Kementerian Pengangkutan (MOT) belum membuat keputusan berhubung cadangan membenarkan pemegang lesen motosikal Kelas B2 dinaik taraf kepada B secara automatik kerana ia masih di peringkat kajian.

Menterinya Anthony Loke berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan kerana terdapat pelbagai pandangan mengenainya.

“Keputusan belum dibuat. Memang ada kajian dilakukan tapi ia masih di peringkat perbincangan lanjut kerana lesen B ini untuk motosikal berkuasa besar.

“Kementerian perlu melihat sejauh mana mereka yang mempunyai lesen Kelas B2 ini mampu untuk membawa motosikal berkuasa besar, jadi itu juga menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Peruntukan Menteri Pengangkutan di Dewan Yayasan ECM Libra, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahun lalu berhubung cadangan itu.

Ahmad Zahid seperti dilaporkan media berpendapat, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa cadangan itu diteliti sedalam-dalamnya terlebih dulu kerana ia boleh menimbulkan implikasi kepada sistem keselamatan jalan raya negara ini.-Harian Metro