Sorting by

×

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia bersedia untuk menawarkan apa sahaja bentuk bantuan kepada Jepun sekiranya diperlukan negara matahari terbit itu.

Wisma Putra percaya Jepun mempunyai keupayaan tersendiri untuk berdepan dengan pasca gempa bumi dan kemalangan kapal terbang di Lapangan Terbang Haneda yang berlaku di negara itu, baru-baru ini.

“Buat masa ini mereka (Jepun) mempunyai kepunyaan yang amat mencukupi, walau bagaimanapun kita telah menawarkan apa juga bantuan dan bentuk sokongan yang sokongan yang mereka perlukan.

“Malaysia bersedia untuk bantu dan memberikan sokongan kepada mereka,” katanya mengulas tindakan lanjut Putrajaya berhubung dua bencana yang didapati Jepun, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan busana tradisional Malaysia fasa kedua dibawah Inisiatif Diplomasi Budaya bagi memperkasakan aktiviti seni budaya dan warisan negara di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Mohamad turut berkata, tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden Selasa lalu yang melibatkan kebakaran kapal terbang di Lapangan Terbang Haneda.

“Tidak ada rakyat yang terjejas dalam insiden Lapangan Terbang Haneda dan di kawasan gempa bumi itu ada rakyat Malaysia dan pelajar kita yang tinggal di situ.

“Tidak ada yang terjejas dan mereka semuanya selamat dan tidak ada apa-apa kemalangan yang menimpa rakyat kita di sana,” katanya lagi.

Pada 2 Januari lalu, pesawat Japan Airlines dalam penerbangan JAL 516 dari Lapangan Terbang New Chitose di Wilayah Hokkaido bertembung dengan pesawat Pengawal Pantai MA-722 selepas mendarat di Lapangan Terbang Haneda, mengakibatkan kedua-duanya terbakar.

Lima daripada enam anak kapal pengawal Pantai itu disahkan meninggal dunia manakala kapten yang berjaya menyelamatkan diri dan cedera parah.

Pesawat pengawal pantai itu membawa barangan bantuan untuk kawasan yang dilanda gempa bumi di wilayah Niigata selepas beberapa siri gegaran sehingga 7.6 magnitud melanda tengah Jepun pada petang Isnin. – MalaysiaGazette