Sorting by

×

Pelancong asing yang masuk ke negara ini diberi kelonggaran untuk mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) sehingga 31 Disember ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun mereka sepatutnya mengisi MDAC dua atau tiga hari sebelum tiba ke Malaysia namun kelonggaran diberikan ekoran ia masih baru dilaksanakan.

Menurutnya, bagaimanapun mengisi MDAC menjadi satu kewajipan kepada semua pelancong selepas 1 Januari tahun depan.

Katanya, maklumat dalam kad ketibaan digital itu membantu mengesan keberadaan mereka sepanjang di negara ini.

“Ini adalah langkah penting untuk kita mengetahui keberadaan mereka di sini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan proses Pelan Liberalisasi Visa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.

Pengecualian visa selama 30 hari untuk pelancong China dan India meliputi tempoh 1 Disember lalu hingga 31 Disember 2024, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 November lalu.

Pada masa ini, negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran serta semua negara Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan, menikmati kemudahan pengecualian visa.

Terdahulu, Saifuddin membuat tinjauan pembukaan 14 kaunter baharu sebagai penambahan kaunter imigresen bagi pemeriksaan pasport.

Dengan penambahan itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan kaunter pemeriksaan imigresen menjadi 60 dan beroperasi 24 jam.

Saifuddin berkata, penggunaan sistem MDAC itu bertujuan melonjakkan sektor pelancongan supaya tidak dirumitkan melalui proses visa namun perkara itu sudah lama diamalkan di kebanyakan negara. Menurutnya, penggunaannya adalah selaras dengan pelaksanaan pelan liberalisasi visa yang menjadi permulaan kepada program Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, pelan liberalisasi visa bertujuan meningkatkan sektor pelancongan yang mana pelancong tidak akan berdepan kerumitan melalui proses visa.

“Pelaksanaan MDAC pula menjadi elemen kawalan berguna bagi kami untuk mengetahui pergerakan mereka dan sebahagian daripada lima inisiatif utama untuk menambah baik perkhidmatan Jabatan Imigresen,” katanya.-Harian Metro