Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

UMNO Johor hari ini mendedahkan Perikatan Nasional (PN) kini giat memujuk Ahli Parlimen parti itu untuk menyokong mereka.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata usaha pembangkang itu bagaimanapun tidak berjaya kerana ditolak Ahli Parlimen terbabit.

“Memang ada usaha-usaha yang sedang dan telah dibuat oleh beberapa pemimpin PN untuk berunding dengan segelintir Ahli Parlimen dari UMNO untuk bersama mereka.

“Namun setakat ini, semuanya ditolak mentah-mentah kerana Ahli Parlimen UMNO lebih bermaruah dan berkredibiliti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, spekulasi lebih 10 ahli Parlimen blok kerajaan daripada UMNO bakal beralih sokongan terhadap PN untuk membentuk kerajaan baharu, timbul semula.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dilaporkan berkata, spekulasi itu bukan sekadar cakap kosong susulan dimaklumkan terdapat perbincangan secara dalaman dalam kalangan pucuk pimpinan tertinggi berkenaan perkara itu.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata itu adalah antara sebab itulah sebabnya PN terus memainkan isu pertukaran kerajaan terutama selepas kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman berbanding berunding dengan kerajaan mengenai peruntukkan.

Beliau dalam masa sama, mendakwa PN kian cemas kerana menjangkakan ada lagi Ahli Parlimen parti itu akan beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi saya, keputusan lima Ahli Parlimen PN sokong PMX itu adalah satu tindakan berjiwa besar. Mereka sanggup ketepikan ego, perbezaan parti serta ideologi demi memastikan peruntukan untuk Parlimen dan rakyat yang mengundi mereka terjamin.

“Oleh itu, apabila Barisan Nasional (BN) tewas di PRK Parlimen Kemaman, saya berlapang dada kerana PN hanya menang satu kerusi tapi sudah hilang sokongan lima kerusi lain. Jadi langkah ke Putrajaya mereka ibarat angan-angan Mat Jenin sajalah,” katanya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi wakil rakyat PN kelima daripada BERSATU yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).-BH Online