Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan pecah tanah projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas sempena lawatan kerja sehari ke Sabah dan Labuan, Khamis ini.

Pecah tanah projek empangan yang sebelum ini diumum menelan belanja kira-kira RM4 bilion itu akan diadakan di Kampung Kungkular, Kemabong di Tenom, selepas dijadual tiba di Kota Kinabalu pada lewat malam esok.

Selesai program di Tenom, Perdana Menteri dijadual kembali ke ibu negeri untuk menyempurnakan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023 yang diadakan di Buhavan Square, Donggongon, Penampang.

Karnival anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) yang menghimpunkan penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara itu dijadual dirasmikan Anwar pada jam 1 tengah hari sebelum beliau menamatkan lawatan kerjanya ke Sabah.
Pada program itu, Anwar dijadual menyampaikan watikah pelantikan Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil serta Anugerah Kecemerlangan Penjaja dan Peniaga Kecil Tahun 2023 sebelum melawat pameran dan ke Jamuan Makan Bersama Rakyat.

Perdana Menteri kemudian dijadual meneruskan lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan Labuan dan dijangka tiba di pulau bebas cukai itu pada jam 4 petang hari yang sama.

Di Labuan, Anwar dijadual melakukan lawatan turun padang dan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Terbuka Madani (Fasa 1) di Kampung Sungai Bedaun dan kemudiannya melawat Projek Menaik Taraf Jambatan dan Dewan Komuniti Kampung Patau-Patau.

Program Perdana Menteri di Labuan diakhiri dengan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Perancangan Wilayah Persekutuan Labuan sebelum beliau berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah malamnya.