Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman akan meredakan suhu politik negara memandangkan imejnya yang sederhana berbanding sikap pimpinan Pas yang jauh lebih ekstrem.

Lebih daripada itu Anwar Ibrahim berharap kemenangan berkenaan akan dapat menyumbang “kelegaan” kepada politik negara yang sering tegang dan panas.

“Saya mengucapkan taniah kepada Datuk Seri Samsuri kerana kemenangan itu dan mudah-mudahan dia dapat bertugas yang baik.

“Dari segi negara, dia akan memberikan sekurang-kurangnya sedikit kelegaan kerana imej (Ahmad Samsuri) yang sederhana… Mudah-mudahan dapat meredakan suhu politik yang terlalu panas,” kata beliau.

Anwar berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Hari Profesion Teknikal Negara di Presint 1, Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

Selain masih berkhidmat sebagai menteri besar, Ahmad Samsuri merupakan tokoh profesional yang dipilih ahli PAS sebagai naib presiden mereka buat penggal kedua.

Dia merupakan bekas ahli akademik yang bertugas di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia.
Dua lagi naib presiden PAS merupakan tokoh yang memiliki latar belakang agama iaitu Idris Ahmad dan Mohd Amar Abdullah.

Pun begitu Ahmad Samsuri dilihat merupakan antara watak paling dipercayai Abdul Hadi Awang kerana pernah dilantik sebagai setiausaha politik presiden PAS berkenaan.

Pas mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman melalui kemenangan Ahmad Samsuri pada PRK itu Sabtu lepas dengan majoriti 37,220 setelah memperoleh 64,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan penyandang Che Alias Hamid juga daripada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi.

Mengulas lanjut mengenai keputusan PRK Kemaman, Anwar berkata, data menunjukkan peratusan pengundi yang keluar untuk memilih ahli parlimen pada Sabtu lalu adalah rendah berbanding semasa PRU pada tahun lalu.

Dia juga berpendapat penjelasan mengenai situasi itu patut diberikan kepada orang ramai agar gambaran lebih jelas dan menyeluruh dapat difahami.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, mesyuarat antara pimpinan PH dan UMNO telah diadakan semalam berhubung keputusan PRK Kemaman dan beliau berpuas hati kerana nampak usaha mengerahkan jentera ke akar umbi. – Bernama