Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung sabitan menghina mahkamah kerana laporan polis dan kenyataan media yang beliau buat terhadap Dato Amhari Effendi, Bekas Pegawai Khas Dato’ Sri Najib.

Perkara itu dimaklumkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding rayuan Lokman Noor di Mahkamah Persekutuan di sini yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada 26 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman Noor, 50, selepas menolak rayuannya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman serta rayuan silang pendakwa raya untuk menambah hukuman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021.

Menurut Muhammad Shafee, surat representasi itu dihantar semalam dan sekiranya representasi berkenaan diterima oleh AGC, rayuan anak guamnya tidak perlu diteruskan.

Hakim Mohamad Zabidin yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan penangguhan dan menetapkan 14 Februari tahun depan bagi pendengaran rayuan dan mengetahui status representasi terbabit.

Pada 15 Julai 2021, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman Noor selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana laporan polis yang Lokman buat keatas Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes 1MDB dianggap mengugut saksi. Lokman telah membuat laporan polis selepas Amhari selesai memberi keterangan dan disoalbalas peguambela Dato’ Sri Najib.

Amhari dalam keterangannya di Mahkamah telah mengakui bahawa beliau telah menerima RM25,000 dari Orbs Solution walaupun beliau merupakan kakitangan awam. Beliau juga mengaku menerima USD 200,000 dari Jho Low dan RM 3.7 juta dalam akaun banknya di BSI Switzerland.

Pada 22 Oktober 2019, hakim memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor kerana tindakannya yang didakwa menghina mahkamah pada 25 September 2019.

Dalam sidang media Lokman selepas membuat laporan polis, beliau mengatakan tujuan beliau membuat laporan keatas Amhari adalah kerana Amhari terang-terang telah mengakui bahawa beliau menerima suapan dan adalah tidak wajar mereka yang bersekongkol dengan Jho Low dibebaskan sedangkan Dato Sri Najib yang diperdaya oleh Jho Low dengan bantuan Amhari pula yang didakwa.

Lokman berulang kali menegaskan beliau sebagai aktivis masyarakat pada ketika itu tiada niat untuk mengugut saksi dan menunggu sehingga saksi selesai memberi keterangan dan disoalbalas. Beliau hanya mahu melihat keadilan ditegakkan.-Media Perpaduan