Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mahu memanfaatkan ilmu dan hasil kajian tesis beliau bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif Kampung Digital, khususnya usaha mendigitalkan alamat kampung tradisional di seluruh negeri.

Beliau berkata, ilmu diperoleh tidak seharusnya sekadar menjadi pencapaian akademik untuk mendapatkan segulung ijazah, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan bagi menyelesaikan permasalahan serta membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat.

“Insya-Allah, ilmu dan hasil kajian menerusi tesis DBA (Doktor Pentadbiran Perniagaan) saya yang bertajuk ‘Pengurusan Teknologi Digital Dalam Kalangan Komuniti Kampung Tradisional: Analisis Inisiatif Kampung Digital Melaka’ akan terus saya manfaatkan bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif Kampung Digital, khususnya usaha mendigitalkan alamat kampung tradisional di seluruh Negeri Melaka,” katanya di Facebook, hari ini.

Ab Rauf turut menzahirkan penghargaan atas ucapan tahniah, doa dan sokongan yang diberikan kepimpinan negeri, agensi kerajaan serta rakyat susulan penganugerahan ijazah DBA oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Katanya, segala sokongan dan penghargaan itu menjadi pembakar semangat untuk beliau terus menabur bakti berlandaskan amanah serta tanggungjawab kepada rakyat Melaka.

“Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi milik seluruh rakyat Melaka yang sentiasa menjadi sumber inspirasi dan kekuatan. Terima kasih semua,” katanya.

Ab Rauf antara 14,311 graduan yang diraikan pada Istiadat Konvokesyen UKM Ke-54, semalam.

Istiadat disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang juga Canselor UKM. -BH Online