Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang untuk memperluas pelaksanaan 17 inisiatif mengetatkan kawalan pintu masuk negara, ke kawasan strategik lain termasuk pangkalan keselamatan udara, darat dan laut seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu dipertimbangkan susulan beberapa insiden terbaharu, khususnya cubaan penyeludupan dadah dikesan di lokasi strategik di bawah seliaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bersama Ketua Setiausaha kementerian, Ketua Polis Negara dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi meneliti keperluan memperluaskan inisiatif yang ketika ini hanya tertumpu di pintu masuk utama negara.

“Saya akan bincang mengenai apakah 17 inisiatif kita yang sekarang ini hanya di pintu masuk utama, harus juga meliputi kawasan lokasi strategik lain.

“Kita ada pangkalan gerak udara polis, tentera ada pangkalan TUDM dan segala macam. Bukan sahaja darat, laut, bahkan udara, kita akan tengok semua sekali mengenai langkah yang patut kerajaan ambil,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Fun Run di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Saifuddin diminta mengulas kebimbangan mengenai dakwaan Malaysia berisiko menjadi hab pengedaran dadah antarabangsa.

Ia susulan rentetan penahanan rakyat dan pesawat sewaan dari negara ini di Jakarta, Laos dan Jepun, selain kes tangkapan terbaharu di pangkalan TUDM. 

Menolak dakwaan negara kini sudah menjadi hab transit dadah, beliau menegaskan intipan perisikan polis sentiasa berjalan sepanjang masa, sekali gus membawa kepada tangkapan.

Mengulas secara khusus mengenai penahanan anggota pasukan beruniform di kemudahan TUDM, beliau menjelaskan kejayaan mengesan dadah berkenaan adalah hasil kerjasama strategik dan perkongsian maklumat perisikan antara JSJN dan TUDM, yang bermula sejak pertengahan tahun ini.

“Intipan Bahagian Narkotik ini sepanjang masa, 365 hari setahun dan intipan mereka tidak pernah tidur. Apabila menerima maklumat perisikan, mereka berkongsi dengan agensi yang mempunyai kawalan ke atas premis itu, dalam kes ini TUDM.

“Bertindak di atas ketepatan maklumat itulah, pada hari kejadian, TUDM mengesan bagasi mencurigakan sebelum tangkapan dibuat dan pihak kita ambil alih (siasatan).

“Kita akan menyiasat sepenuhnya kerana insiden ini memberi implikasi besar kepada negara dan ia membawa kepada beberapa siri tangkapan lain membabitkan anggota pasukan beruniform serta orang awam,” katanya.

Menyentuh mengenai 17 inisiatif kawalan sedia ada dibentangkan di Parlimen sebelum ini, beliau memaklumkan pelan dirangka dalam tiga fasa itu kini sedang beralih ke fasa kedua.

Beliau berkata, antara keutamaan sebelum ini (fasa pertama) adalah apabila mengetahui destinasi popular yang menjadi sasaran penghantaran, penerbangan yang menuju ke destinasi berkenaan dikenakan pemeriksaan bagasi dan penumpang 100 peratus.

Katanya, kini ia akan memasuki fasa kedua, iaitu usaha melengkapkan lagi beberapa peralatan (imbasan dan kawalan) di semua pintu masuk.

Insiden cubaan pengedaran dadah membabitkan lokasi keselamatan strategik itu, disifatkan serius sehingga turut mendapat perhatian Perdana Menteri yang dimaklumkan mengenainya ketika menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) baru-baru ini.

Sebelum ini, seramai 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kilogram dadah menggunakan aset TUDM baru-baru ini. 

Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, 11 individu ditahan terdiri daripada lima pegawai TUDM dan enam orang awam yang disyaki terbabit susulan penemuan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM4.83 juta. -BH Online