KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berjanji akan mengembalikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya gabungan itu kembali mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ahmad Zahid menyifatkan GST sebagai sistem percukaian yang lebih adil dan berfokus berbanding Sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan ketika ini.
Beliau berkata, GST dilaksanakan di lebih 170 negara dan wajar dikembalikan kerana Malaysia dilihat ketinggalan berbanding negara lain yang menggunakan sistem percukaian berkenaan.
“Saya dengan rakan-rakan BN berazam jika kita tawan Putrajaya semula, kita terus kembalikan GST.
“lni bukan soal SST kononnya lebih adil dan berfokus. GST dilaksanakan lebih 170 negara, hanya kita (Malaysia) yang tertinggal dan melaksanakan SST,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Perhimpunan Agung MCA ke-4 bagi Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Wisma MCA, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid menerusi Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada 11 September lalu menggesa supaya GST segera dikembalikan, yang disifatkan sebagai sistem percukaian lebih berkesan yang pernah dilaksanakan di bawah pentadbiran BN.
Beliau turut menyatakan azam parti UMNO untuk memastikan kadar GST yang ditetapkan kelak berada pada peratusan lebih munasabah untuk menyelaraskan jaminan sosial rakyat.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan GST yang digerakkan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berjaya membawa manfaat ekonomi kepada negara dan rakyat.
Beliau berkata, rakyat ketika ini mahukan sebuah kerajaan yang mampu memperjuangkan kepentingan mereka, termasuk memperkasa ekonomi, meningkatkan peluang perniagaan dan menangani isu kos sara hidup.
“Kita umpama menoleh semula ke belakang. Bosku (Najib) telah melakukan yang terbaik dulu.
“Jadi, apabila rakyat mencari pihak yang akan memperjuangkan kepentingan mereka, kita mesti tampil bersama-sama.
“Saya mahu kita memperjuangkan nasib rakyat dan kepentingan seluruh rakyat Malaysia, khususnya dalam bidang ekonomi,” katanya. -BH Online
