Sorting by

×

Israel terus berdepan desakan daripada Amerika Syarikat (AS) untuk mengelak lebih ramai penduduk Palestin di Gaza menjadi mangsa bedilannya.

Desakan dibuat ketika pihak yang berperang pada hari ini, tidak menunjukkan tanda akan menghidupkan kembali gencatan senjata sementara yang tamat.

Sewaktu tentera Israel terus mengepung Gaza selepas tamat gencatan senjata sementara, Naib Presiden AS, Kamala Harris, mendedahkan terlalu ramai rakyat Palestin yang tidak bersalah terbunuh di wilayah berkenaan.

Ketika di Dubai, Harris berkata, meskipun Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya, undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan wajib dihormati.

“Terlalu ramai rakyat Palestin tidak bersalah telah dibunuh. Terus terang, segala penderitaan orang awam, imej dan video dari Gaza amat dahsyat,” katanya.

Selain itu, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, juga menganggap situasi menimpa orang awam di Gaza mesti menjadi ‘tanggungjawab moral’ bagi Israel untuk melindungi komuniti terbabit.

“Jika anda menghalau mereka ke tangan musuh, anda ibarat menggantikan kemenangan taktikal dengan kekalahan strategik,” katanya di forum pertahanan di Simi Valley, California.

Ternyata, kenyataan daripada pegawai kanan AS semalam mengukuhkan tekanan dari Washington agar Israel lebih berhati-hati.

Ia selepas Israel mula mengalihkan tumpuan serangannya ke bahagian selatan di Semenanjung Gaza yang ketika ini dikepung rejim Zionis.

Susulan pertempuran baharu yang menjangkau hari ketiga, orang awam gusar akan serangan udara dan meriam yang mereka anggap menjadi permulaan kepada operasi dart Israel di selatan semenanjung.

Tindakan itu dilihat cubaan untuk ‘menolak’ penduduk Gaza ke kawasan yang semakin mengecil dan terdapat kemungkinan mereka akan diusir ke Mesir.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 193 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata selama seminggu yang berakhir kelmarin, menyaksikan pertambahan lebih 15,000 rakyat Palestin terbunuh sejak perang Israel-Palestin meletus. – REUTERS / BH Online