Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Daripada 5,746 ketua isi rumah (KIR) seramai 3,099 KIR yang tergolong dalam golongan miskin tegar di Johor berjaya dikurangkan dalam tempoh masa enam bulan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengurangan KIR golongan miskin tegar sebanyak 54 peratus itu dilaksanakan menerusi satu task force pemutihan data yang digerakkan kerajaan negeri.

Menurut Onn Hafiz, usaha pemutihan itu juga hasil kerjasama dan bantuan bersama daripada pegawai daerah, ketua jabatan, penghulu, ketua kampung dan agensi yang terlibat dalam melakukan bancian di lapangan.

“Mereka ini bergerak dari kampung ke kampung dan dari rumah ke rumah.

“Ini adalah satu lagi bukti kejayaan pendekatan luar kotak yang digunakan bagi mencapai objektif yang dihasratkan.

“Melalui pengalaman melaksanakan pemutihan data ini, kerajaan negeri berharap kerajaan Persekutuan akan melaksanakan subsidi bersasar dengan tepat dan adil.

“Saya risau mereka yang berhak tidak mendapat bantuan dan mereka yang tidak layak pula yang mendapat bantuan.
“Suka saya ingatkan bahawa setiap keluarga miskin tegar ini akan dijadikan keluarga angkat oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

Dalam masa sama, Onn Hafiz menyuarakan hasrat menjelang tahun 2030 semua penduduk di negeri ini memperoleh purata pendapatan isi rumah bulanan berjumlah RM13,000.

Beliau berkata, ia merupakan antara indikator utama bahawa misi menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tempoh itu telah berhasil.

“Antara indikator lain bahawa Johor telah menjadi sebuah negeri maju termasuklah purata pertumbuhan negeri sebanyak 7 peratus setahun bagi untuk mencapai nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM260 bilion menjelang tahun 2030.

“Selain itu, ia termasuklah kadar pengangguran kekal bawah tiga peratus juga sifar miskin tegar.

“Sekiranya hasrat tersebut dapat dicapai, Johor akan menjadi sebuah negeri dengan kelengkapan termoden dan keseimbangan kehidupan antara sosial dan ekonomi,” katanya.