Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jabatan Penerangan (JaPen) akan membantu Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS Bhd) memberikan penerangan dan penjelasan mengenai penggunaan Identiti Digital Nasional (IDN).

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, ia antara lain bagi menjawab sebarang persoalan yang timbul, khususnya yang berkait keselamatan data peribadi pengguna dan cara pendaftaran IDN.

Beliau berkata MIMOS telah mula memulakan inisiatif memberi penjelasan serta penerangan mengenai perkara itu kepada orang ramai dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) juga telah ditugaskan untuk membantu.

“Jadi insya-Allah dalam masa terdekat JaPen akan membantu MIMOS menerbitkan jawapan kepada set soalan-soalan lazim mengenainya, dan juga penjelasan (disampaikan) dalam bentuk video yang sangat ringkas,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Run Hack: Scam Alert 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Beliau berkata setakat ini program berkenaan belum dimulakan secara meluas dan proses pendaftaran IDN dijangka akan mula ‘rancak’ pada bulan Mac tahun hadapan.

Fahmi berkata beliau juga telah meminta sebarang isu berkaitan keselamatan data dan siber sentiasa dipantau dan diatasi oleh pihak CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi dalam bekerjasama dengan lebih rapat.

IDN atau digital ID adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Digital ID adalah platform yang dipercayai dan selamat, serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian tanpa menggantikan sistem MyKad.

Berkenaan program Run Hack: Scam Alert 2023, Fahmi berkata ia bertujuan memberikan kesedaran mengenai keselamatan siber dengan mengambil kira usaha negara dalam meningkatkan penyertaan dalam ekonomi digital.

Beliau seterusnya menyarankan setiap individu menjaga aspek-aspek keselamatan siber serta data peribadi, dan menyeru setiap organisasi untuk membuat pelaburan dalam mendapatkan perkhidmatan keselamatan siber yang baik untuk memastikan aset atau infrastruktur ICT mereka terjaga. – Bernama