Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mahu langkah tegas diambil terhadap beberapa insiden yang menjurus kepada ekstremisme atau perlakuan melampau yang dilihat semakin membimbangkan.

Sambil menyuarakan kegelisahan terhadap trend itu, beliau berkata, semua pihak termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan rentas kementerian perlu melipatgandakan usaha meredakan keadaan melampau itu supaya masyarakat memahami undang-undang dan tidak mengambil tindakan luar rasional.

“Beberapa insiden baru-baru ini seakan-akan memerlukan kita meneliti sama ada perlunya intervensi mendalam,” katanya yang terkesan dengan kejadian seorang remaja lelaki 13 tahun bertindak luar kawalan apabila menikam pemandu e-hailing menggunakan pisau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 bertema ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, di sini, malam ini.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2023, menekankan pentingnya perpaduan sebagai tonggak untuk merealisasikan harapan Malaysia MADANI dan idealisme dibawa, melalui tema sambutan HKHM 2023 bagi membina identiti negara serta bangsa sebagaimana diidamkan sejak kemerdekaan.

“Agenda perpaduan nasional perlu disokong dan didukung semua pihak kerana Kerajaan Perpaduan mahu nilai saling menghormati serta mementingkan keadilan, dimartabatkan dalam usaha membangunkan Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai Dasar Perpaduan Negara yang antara lain bertujuan memastikan hubungan sesama rakyat serta budaya diamalkan, sekali gus membina persefahaman yang baik dalam kehidupan bermasyarakat.

Fahmi turut menyeru semua pihak terus menyuburkan perpaduan dan keharmonian seperti yang termaktub dalam Rukun Negara, demi memastikan kejayaan serta kestabilan negara.

“Melalui Rukun Negara, Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan lebih erat dalam seluruh masyarakat, memelihara cara hidup demokratik, iaitu dengan mencipta masyarakat adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama,” katanya.

Mengenai kejayaan HKHM 2023 pula, Fahmi berkata, beliau secara peribadi berasa amat gembira kerana sambutan itu dihadiri lebih 100,000 pengunjung.

Katanya, pelancong asing yang turut menyaksikan sambutan penuh meriah itu memuji semangat perpaduan dan keharmonian jitu yang dipamerkan rakyat Malaysia.

“Ini menunjukkan perbezaan etnik, agama dan budaya bukan halangan untuk kita terus kekal bersatu padu demi negara tercinta. Paparan ditampilkan ketika sambutan Hari Kebangsaan itu juga membuktikan rakyat, terutama generasi muda, tahu dan memahami pentingnya kita meraikan Hari Kebangsaan sebagai negara yang merdeka,” katanya.

Fahmi berkata, kejayaan sambutan juga dirasai apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menyantuni rakyat selepas berakhirnya program sambutan tanpa sebarang protokol. – BERNAMA