Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SELEPAS 20 tahun diberhentikan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengembalikan peruntukkan bajet Sekolah Agama Rakyat.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata, bajet yang diberhentikan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003 itu dikembalikan kepada semua Sekolah Agama Rakyat dalam bentuk geran sebanyak RM20,000.

Bagaimanapun Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, geran itu diberikan Kerajaan Perpaduan kepada setiap Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah JAKIM.

“Pemberian ini diharap dapat menyokong fungsi Sekolah Agama Rakyat dalam melahirkan generasi baharu Islam yang seimbang ilmu duniawi dan ukhrawi mereka,” katanya.

Pada 2003, Dr Mahathir menghentikan bantuan itu atas alasan pendekatan pengajaran Islam yang tidak berada di landasan yang betul.

Selain itu, sebagai menghargai jasa dan peranan besar lebih 70 ribu guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut di peringkat komuniti, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk memberikan sumbangan khas ditambah menjadi RM700 ringgit.

Sumbangan akan disalurkan terus kepada mereka dengan peruntukan disediakan lebih RM50 juta. -Media Perpaduan