TAN Sri Johari Abdul menegaskan beliau dipilih di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk memegang jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menjalankan tugasnya menyelesaikan masalah rakyat, bukan untuk bermain politik.
Mengaku kecewa dengan tuduhan ‘anak papa’ yang dilemparkan pembangkang bahawa beliau tidak berlaku adil dalam membuat keputusan berhubung usul dikemukakan, Johari berkata, terdapat perbezaan usul yang dikemukakan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) kelmarin dan semalam.
Jelasnya, Shahidan meminta usul yang tiada kaitan dengan isu padi yang disorok, sebaliknya mengenai penyalahgunaan kuasa kakitangan awam kanan dalam kempen politik serta isu kekurangan tenaga kerja tempatan dalam bidang kejururawatan serta sektor gunting rambut.
“Saya kira apa yang Arau bangkitkan bahawa saya tidak berlaku adil, tidak memberikan peluang berucap, salah.
“Saya menerima cacian cukup banyak daripada media yang saya tidak berlaku adil, seolah-olah saya memberikan laluan kepada Sungai Petani (Dr Mohammed Taufiq Johari) dan lebih teruk lagi apabila Pendang (Datuk Awang Hashim) kata “anak papa”.
“Saya harap, tolonglah. Jika anda mahu bermain politik, mainlah dalam kalangan anda. Jangan babitkan Speaker. Anda mungkin ada pandangan anda, tapi saya ada cara saya,” katanya ketika mempengerusikan Dewan Rakyat sesi petang, hari ini.
Sesi pagi Dewan Rakyat hari ini kecoh dengannisu ‘anak papa’ yang dicetuskan pihak pembangkang kononnya wujud konflik kepentingan dan unsur berat sebelah dalam membuat keputusan terhadap usul yang dihantar kepada Dewan.
Kekecohan tercetus selepas Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong Yeng, memaklumkan usul dikemukakan Dr Mohammed Taufiq semalam, mengenai isu penyorokan 180 tan beras oleh sebuah kilang di Kedah, diterima untuk dirunding di Kamar Khas pada jam 2.30 petang ini.
Keputusan itu dibuat atas pertimbangan Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ramli Mohd Nor, selepas diarahkan Johari.
Pemakluman Alice itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati Shahidan, yang mempersoalkan mengapa usul dikemukakan beliau pada Selasa lalu belum mendapat keputusan, sedangkan usul Mohammed Taufiq yang dikemukakan pada Rabu sudah diputuskan, sebelum Awang mencelah dengan menyebut “anak papa” yang merujuk kepada Mohammed Taufiq yang juga anak kepada Johari. -Media Perpaduan