Sorting by

×

Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam Peta Standard China Edisi 2023 yang yang dikeluarkan Kementerian Sumber Asli Republik Rakyat China pada 28 Ogos 2023.

“Seperti yang ditegaskan Kerajaan Malaysia berhubung isu Laut China Selatan sebelum ini termasuk isu persempadanan maritim, Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara kita berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

“Dalam konteks ini, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam “Peta Standard China Edisi 2023” yang meliputi kawasan maritim Malaysia. Peta tersebut sama sekali tidak mengikat Malaysia,” Kementerian Luar Negeri yang juga dikenali sebagai Wisma Putera berkata dalam satu kenyataan.

Kontroversi berkenaan timbul apabila peta tersebut melangkaui sempadan di Sabah dan Sarawak. Ia turut melepasi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Brunei, Filipina, Indonesia, dan Vietnam, selain beberapa kawasan di Arunachal Pradesh, Jammu dan Kashmir di India, dan wilayah Aksai Chin di Taiwan.

Secara mudahnya peta tersebut turut memasukkan kawasan tuntutan sepihak oleh China.

Justeru itu Malaysia berpandangan bahawa isu rumit sebegini perlu ditangani berdasrkan peruntukan undang-undang antarabangsa. Malaysia juga komited untuk melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan dan proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan secara efektif